Marcel berdamai dengan komuniti KDMR
PENAMPANG: Seorang peguam bersetuju membayar 'sogit atau denda tujuh ekor kerbau mengikut hukuman adat masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) berikutan tindakannya membuat kenyataan menyinggung perasaan masyarakat itu berhubung pertandingan Unduk Ngadau atau Ratu Cantik Kaamatan, baru-baru ini.
Peguam terbabit Marcel Jude Joseph hari ini menandatangani perjanjian mengenai persetujuan membayar denda terbabit selain menyiarkan kenyataan permohonan maaf secara terbuka di akhbar tempatan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata perjanjian itu ditandatangani selepas Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan Marcel mencapai persetujuan bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Jeffrey yang juga Timbalan Presiden KDCA, berkata Marcel bersetuju untuk menyelesaikan 'sogit' yang berupa tujuh ekor kerbau itu kepada masyarakat KDMR melalui KDCA dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.
Marcel Jude (duduk kiri) dan Dr Jeffrey (duduk kanan) menandatangani perjanjian tersebut. |
"Bagi pihak KDCA dan semua persatuan yang bersekutu dengannya, kita bersetuju tidak mengemukakan tindakan mahkamah terhadap Marcel dan kita beranggapan perkara ini sudah selesai.
"Sehubungan itu, kita meminta kepada semua masyarakat KDMR untuk membuang kebencian, sebaliknya melakukan apa yang kita selalu buat ke arah mempromosikan keamanan dan perpaduan," katanya.
Penyelesaian itu juga mendapat persetujuan daripada Presiden KDCA yang juga Huguon Siou atau pemimpin agung Kadazandusun, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang meminta agar isu dicetuskan Marcel tidak dipanjangkan.
Jeffrey berkata, jumlah 'sogit' yang dikenakan itu ditentukan berdasarkan tujuh jenis adat dan tradisi yang diamalkan masyarakat KDMR.
"Marcel juga perlu membuat permohanan maaf secara terbuka kepada masyarakat KDMR walaupun sudah meminta maaf kepada Jawatankuasa Unduk Ngadau dan peserta pertandingan itu," katanya.
Bagi memastikan isu itu tidak berulang, Jeffrey berkata KDCA sudah diarahkan untuk mendirikan batu sumpah di perkarangan Hongkod Koisaan KDCA, di sini sebagai simbol persetujuan yang menjadi antara adat dan tradisi masyarakat KDMR.
Pada Jun lalu, isu pertandingan Unduk Ngadau timbul selepas seorang pegawai penganjur pertandingan didakwa mencabul salah seorang peserta sebelum Marcel yang mewakili lelaki terbabit mengeluarkan kenyataan yang berbaur penghinaan terhadap peserta Unduk Ngadau.
إرسال تعليق