Penduduk Papar Dakwa Air Paip Berbau Najis

Bau itu dipercayai daripada ladang ternakan ayam yang membuang sisa buangan haiwan ternakan ke sungai. – Gambar Hiasan



KOTA KINABALU: Penduduk di sekitar Papar berdepan gangguan masalah air paip berbau busuk dan hanyir seperti najis, dipercayai berpunca daripada sisa buangan haiwan ternakan yang dilepaskan dari ladang ternakan ayam ke sungai berhampiran.

Pegawai Daerah Papar Hadzlan Jablee dipetik Harian Metro berkata, pihaknya menerima pengesahan daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berhubung masalah yang berlaku sejak semalam itu.

Katanya, dipercayai ladang ternakan ayam terbabit mengambil peluang membuang sisa buangan haiwan ternakan ke sungai berikutan hujan lebat semalam.

“Esok pihak kami akan mengadakan mesyuarat bersama jabatan dan agensi berkaitan bagi menyiasat secara lanjut mengenai perkara terbabit.

“Pihak kami juga sudah berbincang dengan pihak JANS dan mereka sudah melakukan untuk proses ‘flushing’ di Stesen Air Kinarut bagi memulihkan bau air tersebut.


KAKITANGAN Jabatan Alam Sekitar mengambil sampel air mentah di loji EWSS sambil diperhatikan oleh kakitangan Jabatan Air (kiri).
“Dijangkakan bau air terbabit akan pulih pada petang ini,” katanya.

Sementara itu, dalam laporan sama, seorang penduduk, Nurazreen Ali Zaini, 29, berkata, bekalan air paip di rumahnya mula mengeluarkan bau busuk pada 1 pagi.

“Saya mula perasan air paip di rumah berbau busuk walaupun pada semalam ada menerima notis dari JANS mengenai pencemaran bau pada air mentah.

“Tambahan pula terdapat banyak masalah seperti ketiadaan air yang timbul sejak kebelakangan ini membuatkan kami berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air untuk mandi, memasak dan melakukan aktiviti harian.

“Bekalan air mineral botol di sini juga sudah habis di kebanyakan kedai disebabkan ketiadaan air. Diharapkan pihak berkuasa dapat mengatasi masalah ini dengan secepat mungkin,” katanya.


Sungai Papar yang membekalkan air ke Loji Rawatan Air Limbahau sering tercemar kerana aktiviti ternakan dan pertanian di sekitar sungai menyebabkan bekalan air terputus di daerah ini. - Gambar Bernama
Seorang lagi penduduk, Mohd Yatim Naming, 29, berkata, dia menyedari air paip di rumahnya berbau busuk seperti najis dan bekalan air paip juga menjadi perlahan sejak 6 petang semalam.

“Kakak saya yang kebetulan sedang mencuci pinggan pada mulanya menyangka bau itu berpunca dari air kencing kucing di sinki dapur tetapi apabila saya mendapati ramai orang mengadu mengenai perkara sama di media sosial, barulah saya tahu bau itu berpunca daripada bekalan air.

“Disebabkan itu, kami juga ragu-ragu dengan tahap kebersihan air paip terutamanya untuk kegunaan minum, mandi dan juga mengambil air wuduk,” katanya.

Post a Comment

أحدث أقدم