Perjuangan MA63 akan diteruskan

Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili



KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana sekali lagi diberikan peluang sebagai Menteri dalam Kabinet di Persekutuan.

Maximus berkata, sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) ianya sudah pasti penting ke arah mencapai tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, banyak perkara sudah dilakukan bagi mengenal pasti isu-isu dan pelan tindakan telah pun dikemukakan khususnya perkara yang memerlukan pertukaran dalam polisi, regulasi, perundangan dan perlembagaan.

"Saya akan bekerja rapat dengan Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Sarawak untuk menyampaikan perkara yang sudah dirancang serta pelan tindakan baharu yang akan dikenal pasti serta dilaksanakan.

"Saya yakin Kabinet baharu ini yang diketuai Perdana Menteri baharu akan melihat perkara atau isu-isu membabitkan Sabah dan Sarawak khususnya MA63," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berazam melakukan yang terbaik bagi kelangsungan pendidikan negara dalam tempoh pandemik ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata, beliau akan cuba yang terbaik demi negara dalam memastikan mutu pendidikan khususnya di Sabah dan Sarawak dipertingkatkan.

"Begitu juga dengan kemudahan infrastruktur dan prasarana sekolah-sekolah yang banyak lagi daif di Sabah serta Sarawak," katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.