Qhazanah Sabah bakal beli 250,000 dos vaksin daripada Pharmaniaga

Pengarah Eksekutif WH Medicare Rudy Jalgul (kiri) dan Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Berhad Zulkarnain Md Eusope bertukar-tukar dokumen selepas menandatangani perjanjian pebelian vaksin. Turut hadir, Masidi Manjun (di belakang Rudy) dan Salleh Said Keruak.



KOTA KINABALU: Cabang pelaburan strategik kerajaan negeri Sabah, Qhazanah Sabah Group telah menandatangani perjanjian untuk membeli 250,000 dos vaksin Sinovac CoronaVac.

Pengerusinya Salleh Said Keruak berkata, syarikat itu dipilih kerajaan negeri sebagai badan yang membantu memastikan penghantaran pantas dan mencukupi vaksin di Sabah.

“Disebabkan menjadi tanggungjawab kami kepada kerajaan, Qhazanah Group menerusi subsidiari WH Medicare telah komited untuk membeli vaksin Sinovac CoronaVac daripada Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perjanjian bekalan dan pengagihan antara WH Medicare serta Pharmaniaga LifeScience itu dimeterai antara kedua-dua pihak di pusat pentadbiran negeri, semalam, dengan disaksikan Salleh serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun yang juga jurucakap rasmi Covid-19 negeri.

Perjanjian berkenaan menjamin pembelian 250,000 dos yang mencukupi untuk 125,000 orang.


Qhazanah Sabah bakal beli 250,000 dos vaksin daripada Pharmaniaga
Salleh berkata, Qhazanah Sabah memilih Pharmaniaga LifeScience sebagai pembekal vaksin kerana kebolehpercayaannya.

“Produk itu diisi dan disiapkan di kilang di Malaysia, susulan itu isu logistik dan pengagihan kurang menjadi masalah.

“Apa yang penting adalah vaksin itu ada bila dan sekiranya kita perlukannya,” katanya.

Sementara itu Masidi berkata, pembelian itu mampu menangani cabaran dihadapi dalam proses pemberian vaksin di Sabah, terutama kapasiti untuk memberikan vaksin serta bekalan yang mencukupi.

Beliau turut menggesa syarikat besar supaya memvaksin pekerja, dengan menambah syarikat boleh beroperasi pada kapasiti penuh jika semua kakitangan serta keluarga mereka telah diimunisasi.

Masidi mengiktiraf pentingnya membuka semula aktiviti ekonomi, dan langkah-langkah sedang diambil untuk memudahkannya.

“Menerusi Qhazanah, Sabah kini mempunyai akses terhadap bekalan vaksin. Kerajaan negeri akan membincangkan dan memperhalusi pemberiannya,” katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.