Sarawak 'pinjamkan' 99,400 dos vaksin Covid-19 kepada Sabah

Pesawat angkut C130 dari Pangkalan Udara Labuan ketika membuat pengambilan vaksin di Lapangan Terbang Sibu dan Lapangan Terbang Bintulu untuk dibawa ke Tawau. FOTO MELVIN JONI



Kuching: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membantu menghantar 99,400 dos vaksin Covid-19 dari Sarawak ke Sabah melalui penerbangan komunikasi logistik, hari ini.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataannya berkata, penerbangan itu membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech, Comirnaty, melalui pinjaman vaksin daripada kerajaan Sarawak yang diperoleh dari Kuching, Sibu dan Bintulu untuk dibawa ke Tawau.

"Pemindahan vaksin ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Sabah dalam meningkatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyat bagi mencapai sasaran imunisasi kelompok 80 peratus rakyat negeri itu menjelang Oktober depan," katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan, pesawat angkut C130 dari Pangkalan Udara Labuan dikendalikan juruterbang TUDM, Kapten Mohamad Zulkarnain Johari bersama pembantu juruterbang Kapten Owi Wei Lunn, jurutera penerbangan Mejar Mohd Azlan Mohd Ali, jurumalim Kapten Muhammad Haikal Rasdi serta Kuartermaster Udara iaitu Pegawai Waren Udara II Freddie Francis Biren dan Sarjan Udara Ridzuan Karmusakar tiba pada 11.30 pagi di Pangkalan Udara Kuching.


Sabah menerima sejumlah 99,400 dos vaksin Comirnaty dari Sarawak.
Katanya, pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Kuching pada 12.30 tengah hari dan membuat pengambilan vaksin di Lapangan Terbang Sibu dan Lapangan Terbang Bintulu sebelum meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Tawau dan tiba pada 4.30 petang, seterusnya diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Sabah.

Bekalan vaksin itu kemudiannya telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
"Peranan TUDM khususnya dalam sokongan logistik melalui penghantaran udara bagi membantu negara menangani Covid-19 dilaksanakan berterusan sejak wabak melanda negara pada Mac tahun lalu, terutama ketika pesawat komersial terpaksa menghentikan operasi penerbangan," katanya. - Hmetro

Post a Comment

أحدث أقدم