Wanita bergejala hadir majlis pengebumian cetus kluster di Kg Nasakot, Ranau

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun

Wanita tidak endah gejala dialami hadir majlis pengebumian, cetus kluster baharu


KOTA KINABALU: 2 kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini, Ranau dan Lahad Datu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Nasakot – Ranau adalah kluster jenis komuniti yang berlaku di Kampung Nasakot, Ranau.


Katanya, kes indeks adalah wanita, 40, yang membawa anak yang juga pesakit Talasemia dan dikesan positif (RTK-Ag) semasa saringan pra-kemasukan wad pada 20 Ogos 2021.

“Siasatan awal mendapati, kes indeks membawa anaknya untuk transfusi di Hospital Ranau pada 03 Ogos 2021 dan saringan kemasukan wad adalah negatif.

“Oleh itu, mereka telah dibenarkan keluar pada 05 Ogos 2021 dan hanya berada di rumah sejak 06 Ogos 2021.


“Namun, pada 12 Ogos 2021 kes indeks mula menunjukkan gejala demam, selesema, hilang deria rasa dan bau.

“Tidak endah dengan simptom, pada 14 Ogos 2021, kes indeks telah menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga yang berlanjutan selama tujuh hari bersama-sama hampir keseluruhan penduduk Kg Nasakot,” jelas Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, saringan kontak rapat telah dijalankan pada 21 hingga 23 Ogos 2021 dan berjaya mengesan empat kontak rapat yang menjadi sub-indeks untuk kes-kes seterusnya.

“Perkumpulan beramai-ramai semasa majlis pengebumian ini mencetus penularan wabak dalam komuniti Kg Nasakot dan Kg Tanid di Mukim Malinsau,” kata beliau, sambil menambah daripada 95 kontak yang disaring, 31 individu dikesan positif dalam kluster ini termasuk dua kes baharu hari ini.


Di LAHAD DATU, kluster baharu dinamakan Kluster Sawit Jeroco – Lahad Datu dikesan berlaku di Mukim Segama dalam kategori tempat kerja.

Masidi berkata, kes indeks adalah pekerja kilang, lelaki, 27, yang disahkan positif Covid-19 di klinik swasta pada 26 Ogos 2021 selepas bergejala sejak 25 Ogos 2021.


“Pihak pengurusan kilang dan klinik panel telah melakukan saringan kontak dan saringan bersasar mulai 26 hingga 28 Ogos 2021.

“Daripada 215 kontak yang disaring, 57 individu didapati positif termasuk 25 kes baharu hari ini, manakala 194 individu negatif saringan pertama.

“Semua kes positif Covid-19 dalam kluster ini telah dirujuk ke CAC Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan,” kata beliau, sambil menambah kontak-kontak rapat pula telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di ladang tersebut.


Kebanyakan kes adalah dalam kalangan bukan warganegara yang masih belum menerima vaksin. Punca jangkitan masih dalam siasatan. - Warta Oriental

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.