Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun |
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 1,533 kes baharu dan jumlah ini menunjukkan penurunan 449 kes menunjukkan ianya angka terendah yang direkodkan sejak 11 Ogos lalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata secara keseluruhannya kebanyakan daerah menunjukkan penurunan kes.
“Statistik menunjukkan 18 daerah mencatatkan penurunan dan hanya sembilan daerah merekodkan peningkatan kes.
“Ibu negeri mencatatkan perubahan kes yang agak baik dengan catatan cuma 269 kes dengan penurunan ketara sebanyak 224.
“Jumlah ini juga diikuti daerah lain yang mencatatkan perkembangan sama iaitu Sandakan turun sebanyak 122, Telupid 39, Putatan 38, Beluran 35, Kota Marudu 27, Papar 22, Tongod 15, Tawau 14, Nabawan 12, Kalabakan 12 dan Kunak 11,” katanya.
Menurutnya jumlah penurunan kes harian adalah seiring dengan jumlah daerah yang mencatatkan penurunan.
“Daripada keseluruhan kes yang dicatatkan, 17 kes adalah membabitkan kes Orang Kena Tangkap (OKT), 540 adalah kes-kes lewat daftar antara dua hingga tiga hari, 67 kes adalah lewat daftar empat ke lima hari, 101 kes adalah yang berdaftar melebihi lima hari.
“Saringan kontak rapat kekal sebagai penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah sebanyak 852 kes, saringan bergejala 473, 73 adalah saringan kluster dan 135 melalui lain-lain saringan,” katanya.
Masidi berkata 534 kes adalah dalam kategori satu diikuti 963 kes bagi kategori dua, lima kes dalam kategori tiga, 15 kes keseluruhan bagi kategori empat dan lima manakala 16 kes masih dalam siasatan.
SOURCE: Utusan Borneo
Kongsikan artikel ini:
Post a Comment