Anggota bomba dan penyelamat redah tanah runtuh, pokok tumbang untuk selamatkan warga emas dengan membawa wanita tua itu menggunakan stretcher. |
Bomba selamatkan warga emas patah kaki elak tanah runtuh
PENAMPANG – Pasukan bomba terpaksa memotong dahan pokok serta meredah lumpur demi menyelamatkan seorang wanita warga emas di Kampung Sugud hari ini.Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, mangsa, Linjuin Sikunal, 89, yang menghidapi sakit tua dikatakan cuba menyelamatkan diri daripada runtuhan tanah yang berlaku di hadapan rumahnya tetapi tergelincir sehingga mengakibatkan patah kaki dan terpaksa mendapatkan bantuan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Jamaludin Husin berkata, sepasukan sembilan anggota bersama pegawai bomba bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa sejurus menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 8.19 pagi.
Pasukan bomba terpaksa memotong dahan pokok serta meredah lumpur demi menyelamatkan seorang wanita warga emas di Kampung Sugud, Penampang hari ini. Foto: Ihsan Bomba |
“Kita mendapati jalan masuk ke rumah mangsa sejauh kira-kira 500 meter dihalang tanah runtuh dan pokok tumbang serta kabel TM sebaik tiba di lokasi kejadian.
“Anggota bomba bsrtugas terpaksa melakukan operasi pemotongan kayu bagi memberi laluan masuk ke rumah mangsa.
“Selepas berjaya sampai ke rumah terbabit, mangsa didapati patah kaki selain menghidapi sakit tua,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Jamaludin berkata, mangsa diberikan rawatan awal dan pemasangan ‘lower limb’ di kaki, mangsa terus dibawa keluar ke jalan utama.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) menggunakan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bagi mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil. -K! ONLINE
SOURCE: Kosmo!
Kongsikan artikel ini:
Post a Comment