Amaran Kedutaan Jepun: PDRM jamin tahap keselamatan negara, ketenteraman awam terkawal

Foto: AFP

Amaran Kedutaan Jepun: PDRM jamin keselamatan terkawal

PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengesan dan menerima sebarang maklumat mengenai apa-apa bentuk ancaman keselamatan susulan amaran pihak Kedutaan Jepun di Malaysia kepada rakyatnya mengenai kemungkinan berlaku serangan pengganas di rumah ibadah dan kawasan tumpuan ramai di beberapa negara Asia Tenggara.


Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam adalah terkawal.


“Orang ramai diminta untuk tidak gusar dan tidak membuat sebarang spekulasi kerana PDRM akan memastikan keselamatan negara kekal berada pada tahap selamat. Pemantauan juga akan ditingkat bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.

“PDRM sentiasa memantau senario keselamatan semasa dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat ketenteraman awam dan keharmonian di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Acryl Sani, PDRM mengambil maklum berhubung laporan berita berhubung amaran dikeluarkan oleh pihak kedutaan Jepun di Malaysia itu.

Terdahulu, kedutaan Jepun di Kuala Lumpur mengesahkan pihak mereka telah mengeluarkan amaran kepada warga negaranya di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di Asia Tenggara.

Menurut laporan media, Kementerian Luar Jepun telah menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan-kawasan sesak lain.

Baca: Kedutaan Jepun sahkan keluar amaran kepada warganya di Malaysia kemungkinan ancaman pengganas

Lapor Bernama, memetik seorang pegawai dari kedutaan ketika dihubungi Bernama berkata nasihat itu dikeluarkan pagi ini kepada semua warga Jepun yang berada di Malaysia.

Pihak kedutaan mengeluarkan nasihat tersebut selepas menerima arahan dari Tokyo.


Pegawai itu berkata buat masa ini terdapat kira-kira 31,000 warga Jepun tinggal di Malaysia.


Amaran itu memetik laporan perisikan dan kemungkinan terdapat serangan ke atas rumah ibadat dan tempat perhimpunan besar-besaran di rantau ini. -UTUSAN ONLINE

SOURCE: UTUSAN

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Kickbola Network dan langgan saluran Telegram BeritaUp2Date untuk kemas kini berita terkini.




Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.