Seorang lelaki yang sakit mental dibebaskan dari tuduhan membunuh ibu
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berumur 32 tahun, yang didakwa membunuh ibunya empat tahun lepas di Kota Belud, dibebaskan daripada tuduhan itu atas sebab tertuduh tidak siuman.Bukhori Jinol diperintah agar ditahan di Hospital Mesra Bukit Padang di sini selama tempoh mengikut budi bicara Yang Dipertua Negeri.
Bukhari Jinol (tengah) yang membunuh ibunya empat tahun lalu dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas alasan gangguan jiwa. - NSTP / ERSIE ANJUMIN.
“Dengan itu, saya membebaskan tertuduh atas sebab ketidakwarasannya di bawah Seksyen 347 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan memerintah supaya tertuduh di bawah Seksyen 348 KTJ ditahan di Hospital Mesra Bukit Padang, di sini selama tempoh mengikut budi bicara Yang Dipertua Negeri.”
Bukhori dituduh membunuh ibunya, Teh Juari, 56, pada pukul 10.40 malam 1 Mei 2017 di sebuah rumah di Kg Linau, Kota Belud. Kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Bukhori pada 23 September 2019 diperintah untuk membela diri dan dia memilih untuk memberi keterangan tidak bersumpah dalam pembelaannya.
Dalam keterangan tersebut, Bukhori menyatakan antara lainnya, bahawa dia tidak waras disebabkan khayal syabu pada waktu kesalahan itu dilakukan dan dia tidak tahu perbuatannya itu salah.
Disebabkan penggunaan dadahnya, dia mengalami psikosis berpunca syabu yang menyebabkan dia mengalami khayalan dan halusinasi, dan pada waktu kesalahan itu dilakukan, dia melihat mangsa bukan sebagai ibunya tetapi sebagai ‘satan’, katanya dalam keterangan itu.
Bukhori diwakili oleh peguam dilantik, Ridwandean Borhan.
Terdahulu, dalam dapatannya, Nurchaya memutuskan antara lainnya bahawa profil Bukhori secara amnya menunjukkan dia mengalami penyakit mental secara genetik, tidak mengambil ubatan preskripsi sepanjang tempoh tiga bulan sebelum kejadian itu, dan mengambil bahan haram iaitu syabu, di samping keterangan pakar saksi pendakwaan bahawa Bukhori tidak waras dan dengan itu tidak mampu memahami akibat perbuatannya.
Atas sebab itu, Bukhori disahkan tidak waras dari segi perubatan, kata Nurchaya.
“Tidak diragui bahawa dia mengalami penyakit mental secara genetik tetapi daripada fakta yang dikemukakan oleh saksi pendakwaan dan keterangan tertuduh, corak kelakuan biasanya jelas menunjukkan dia bukan seorang yang agresif dan kebanyakan masanya menyendiri.
“Apabila dia tidak mengambil ubat preskripsinya dia menjadi resah dan merayau-rayau di sekitar kampung, namun masih tidak agresif.
“Gabungan salah guna dadah dan tidak mengambil ubatnya menyebabkan dia berkelakuan agresif. Ini jelas ditunjukkan pada malam kejadian jenayah itu apabila dia menyerang ibunya, si mati.”
Mahkamah juga memutuskan bahawa Bukhori memang berada di bawah pengaruh dadah serta tidak mengambil ubatnya selama tiga bulan kerana ahli keluarganya gagal mendapatkan ubat itu dari hospital.
“Saya putuskan dalam keadaan ini, pengambilan dadah dan kegagalan mendapatkan ubat preskripsinya menyumbang kepada keadaan mentalnya yang memang sedia tidak seimbang sehingga menyebabkan ketidakwarasan atau tidak siuman, dan tertuduh tidak mampu memahami akibat perbuatannya,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Rozana Atan hadir untuk pendakwaan. – DE
SOURCE: Warta Oriental
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق