Pengguna di Labuan terkejut bil elektrik tinggi

Pengguna di Labuan terkejut bil elektrik tinggi - Gambar Hiasan

LABUAN: Pengguna elektrik domestik dan komersial di Wilayah Persekutuan ini terkejut dengan bil mereka yang tinggi, rata-rata menyifatkan caj itu sebagai keterlaluan.

Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sebelum ini menghentikan sementara bacaan meter berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan melaksanakan semula bacaan meter bagi penggunaan elektrik domestik dan komersial di pulau ini sejak minggu lepas.


Beberapa pengguna mendakwa jumlah bil mereka hampir 3 dan 4 kali ganda daripada kadar biasa.

Pengguna elektrik domestik dan komersial di Labuan terkejut dengan bil mereka yang tinggi, rata-rata menyifatkan caj itu sebagai keterlaluan.
Bagi mereka yang membayar bil bulanan pada Mei, Jun dan Julai semasa PKPD berkuat kuasa, mereka tidak merasa terbeban, manakala ada yang mengetahui jumlah bil selepas menerima bil untuk tiga bulan dan mereka membuat aduan kepada SESB dalam pelbagai platform media sosial.

Ramai pengguna berpendapat bahawa jumlah bil itu tidak diambil kira semasa mengira bil penggunaan bekalan elektrik.

“Bil elektrik bulanan saya sekitar RM300, tetapi kini ia meningkat tiga kali ganda... dengan hampir tiada pendapatan berikutan sekatan pergerakan, saya tidak tahu bagaimana untuk membayar bil yang tinggi ini,” kata seorang penduduk di sebuah taman perumahan di sini.


Seorang peniaga Raymond Lee Hui Teck yang memiliki bilik pameran perkakasan rumah berkata beliau perlu membayar lebih RM7,000 berbanding jumlah purata bil RM3,000.

“Bilik pameran ini ditutup selama dua bulan kerana sekatan pergerakan penuh. Tetapi, saya menerima bil yang tinggi jumlahnya, ia agak membebankan lebih-lebih lagi apabila perniagaan kekurangan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus SESB Labuan Ir. Abd Affidz Abd Momin berkata pihaknya menyedari rungutan pengguna terhadap jumlah bil yang terkumpul itu.


“Kami salurkan permintaan pengguna ke ibu pejabat di Kota Kinabalu, Sabah untuk bayaran ansuran dan tiada deposit tambahan dikenakan.

“Pengguna tidak seharusnya dicaj melebihi penggunaan kuasa yang sebenar...jika pengguna mempunyai aduan mengenai penilaian dan pelarasan bil, dan sekiranya terdapat perbezaan pada bil, mereka boleh ke kaunter staf SESB untuk penjelasan, terutamanya dengan bil yang dinyatakan kod E merujuk kepada anggaran,” katanya ketika dihubungi.


Abd Affidz berkata SESB Labuan tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk melakukan kerja-kerja bacaan meter (kecuali untuk kerja penyelenggaraan) semasa pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dan ini menyebabkan jumlah bulanan bil terkumpul.

SESB Labuan mempunyai kira-kira 24,000 pengguna akaun yang berdaftar.

Post a Comment

أحدث أقدم