Azis Jamman |
KUALA LUMPUR : Parti Warisan Sabah (WARISAN) menjelaskan mereka tidak bersama Pakatan Harapan (PH) dalam menjayakan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan kerana tidak dilibatkan dari awal.
Ketua Wira WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata partinya hanya dijemput pada peringkat akhir selepas PH dan kerajaan sudah berunding dan mencapai persetujuan untuk menandatangani MoU itu.
Katanya, perlu ada keikhlasan dalam kalangan blok pembangkang berhubung MoU berkenaan dan tidak sepatutnya WARISAN diminta mengikut apa sahaja keputusan PH.
Shafie Apdal |
“Ini tidak, selepas beberapa kali bermesyuarat (dengan wakil kerajaan), baru kita dipanggil dan diberitahu nak buat MoU.
“Jangan jadikan kita pak turut, Presiden WARISAN bukannya ‘rubber stamp’,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PH, Anthony Loke, yang menafikan mereka mengetepikan parti pembangkang lain dalam proses rundingan dengan kerajaan berhubung MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.
Terdahulu Loke dilaporkan berkata satu taklimat khas berkenaan kandungan MoU telah disampaikan oleh pimpinan tertinggi PH kepada Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, petang semalam.
Katanya, wakil WARISAN juga dijemput untuk taklimat itu namun mereka tidak hadir.
“Kami difahamkan PEJUANG dan WARISAN belum bersedia untuk menandatangani MoU dengan kerajaan.
“PH menghormati pendirian mereka. Namun, ia tidak bermaksud kita tidak boleh bekerjasama dalam isu yang lain,” kata Loke.
Sementara itu, Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata pembabitan pihaknya daripada awal adalah mustahak supaya selera penduduk wilayah Sabah diambil kira.
Katanya, jika ada komunikasi dua hala, pastinya WARISAN akan memberi penekanan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai antara kandungan MoU itu.
“Kalau WARISAN dibawa dalam rundingan dari awal, kita akan tekankan berkenaan MA63. Selera orang Sabah dan Sarawak perlu didengari dalam blok pembangkang.
“Kami pun tidak tahu apa kandungan MoU itu, jam 5 petang nanti baru tahu. Saya dengar ada persamaan dengan tawaran yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
“Kalau kami tidak tahu kandungannya, bagaimana WARISAN nak tandatangan,” katanya.
MoU Transformasi dan Kestabilan Politik akan ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua parti dalam PH di Dewan Bankuet, Parlimen pada jam 5 petang ini. – BH Online
SOURCE: Bharian
Kongsikan artikel ini:
إرسال تعليق