Tidak dapat duit diminta, penagih tikam kepala adik dengan gunting di Kg Pintas, Beaufort

Polis menahan suspek dan merampas gunting disyaki digunakan dalam kejadian. – Foto Polis Beaufort

Berang tidak dapat duit, tikam kepala adik guna gunting

BEAUFORT: Polis menahan seorang lelaki disyaki menikam kepala adiknya dengan menggunakan gunting dalam pergaduhan di Kampung Pintas, di sini, semalam.


Dalam insiden kira-kira jam 5.30 petang itu, suspek berusia 31 tahun didakwa mengamuk selepas gagal mendapatkan wang daripada ibunya, yang dipercayai untuk membeli dadah.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob, berkata suspek dikatakan berang lalu merosakkan barang di sekeliling sambil menjerit-jerit.


Justeru, beliau berkata, adik suspek berusia 25 tahun yang melihat kejadian itu bertindak menegur sebelum suspek didakwa menyerangnya.


Beliau berkata, berlaku pergelutan antara mereka sehingga suspek dikatakan mengambil gunting dan menikam kepala adiknya.

“Ibu mereka yang melihat kejadian itu segera meleraikan. Akibat insiden itu, mangsa luka di kepala dan dada kerana terkena gunting yang didakwa digunakan suspek. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.


“Susulan laporan dibuat ahli keluarga terbabit, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, menahan suspek dan merampas gunting dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.


Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki penagih dadah, manakala wang yang diminta dipercayai adalah untuk membeli bahan terlarang itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya. –

SOURCE: BH Online

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Saya Orang Sabah dan langgan saluran Telegram SabahUp2Date untuk kemas kini berita terkini.




Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.