SEMPORNA: Dua lelaki disyaki cuba menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran berjaya ditahan di perairan Pulau Mataking, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan tugas rondaan mengesan pergerakan sebuah bot laju mencurigakan di lokasi kejadian.
Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superitendan Mohd Yacob Murad berkata bot laju yang sarat dengan muatan itu dipercayai dari arah Semporna menuju ke perairan negara jiran.
“Pasukan keselamatan bertindak mengejar bot laju berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas barang yang dibawanya.
“Juragan bot berkenaan yang menyedari kehadiran pasukan keselamatan cuba memecut laju untuk meloloskan diri, namun berjaya dipintas,”katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat dua lelaki berumur 24 dan 31 tahun berada di dalam bot berkenaan.
“Salah seorang daripada suspek adalah warga tempatan, manakala seorang lagi warga asing dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 760 plastik minyak masak bersubsidi dan 50 liter minyak petrol di dalam bot laju yang dibawa oleh suspek,”katanya.
Mohd Yacob berkata hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengakui semua minyak masak yang dibawanya itu untuk diseludup keluar dan dihantar ke negara jiran.
“Kesemua minyak masak, petrol dan dua buah enjin sangkut yang dianggarkan bernilai RM29,032.50 itu dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,”katanya.
SOURCE: UTUSAN BORNEO
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق