KOTA KINABALU: Lapan individu yang masih gagal mematuhi norma baharu dengan tidak mendaftar masuk sebelum memasuki premis membawa padah selepas menerima notis kompaun.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata kesemua lapan individu itu didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) di seluruh Sabah dalam pemeriksaan di negeri ini kelmarin.
“Bagi tempoh sama, empat premis turut diberi notis amaran dalam rondaan Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) dan Rondaan Pemantauan Pematuhan SOP Peringkat Komuniti oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di 278 Premis Perniagaan melibatkan 163 anggota APM,” katanya.
Masidi berkata tahap pematuhan penduduk Sabah semakin memberangsangkan selepas tiada kenderaan diarah untuk berpatah balik dalam pemeriksaan 12 Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilaksanakan dalam tempoh 24 jam kelmarin dengan melibatkan 13,413 buah kenderaan yang diperiksa.
“Tiada tangkapan turut direkodkan sepanjang penguatkuasaan SOP yang dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melibatkan 207 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 33 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.
“Pihak Berkuasa Tempatan juga menjalankan pemeriksaan terhadap 1,095 premis perniagaan mengikut kawalan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan tiada sebarang tindakan kompaun serta notis dikeluarkan,” katanya.
Tambahnya tiada kompaun turut dikenakan bagi pematuhan SOP yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terhadap 453 premis perniagaan dan 735 individu di 18 kawasan serta rondaan sama oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) melibatkan 119 anggota di 162 lokasi.
Dalam pada itu Masidi berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melaksanakan sanitasi awam di 11 premis, melibatkan lapan buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).
Katanya 60 hebahan awam mengikut program Info On Wheels Jabatan Penerangan Malaysia Sabah berjaya dilaksanakan di empat daerah dan Unit Promosi Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah turut melaksanakan 129 hebahan umum di seluruh Sabah.
SOURCE: Utusan Borneo
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق