Perubahan SOP itu susulan Sabah memasuki ke fasa ke-3 Pelan Pemulihan Negara, namun Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun mengingatkan pemandu, penumpang dan petugas haruslah lengkap divaksin.
KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, perkhidmatan bas ekspres, bas henti-henti, bas pekerja, bas sekolah, bas pelancongan dan kereta api kini dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 75% penumpang.
Selain itu, katanya perkhidmatan teksi, e-panggilan juga dibenarkan dengan jumlah maksimum hanya 4 orang termasuk pemandu.
“Perubahan SOP (prosedur operasi standard) ini adalah susulan selepas Sabah kini masuk ke fasa ke-3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Bagaimanapun, setiap individu terlibat termasuk pemandu, penumpang dan petugas haruslah terdiri daripada mereka yang telah lengkap divaksin.
“Selain itu, antara SOP terbaharu yang ditetapkan ialah hanya tiga orang sahaja wakil isi rumah bagi individu belum lengkap divaksin dibenarkan keluar, hanya untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Masidi berkata, bagi SOP terbaru aktiviti ekonomi pula, kafe siber dan pusat siber dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam dengan 50% kapasiti tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Katanya, kompleks beli-belah (hanya subsektor yang telah dibenarkan) turut dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam manakala penggunaan bilik persalinan turut dibenarkan.
“Pameran dan aktiviti berkaitan dengan ‘Meeting, Incentives, Conventions and Exhibitions’ (MICE) secara bersemuka dibenarkan dengan syarat semua yang hadir telah lengkap divaksin dan kapasiti 50% ruang premis.
“Selain itu, antara kebenaran lain ialah operasi bilik persalinan, bilik mandi dan bilik solat di premis rumah kelab adalah dibenarkan dengan kapasiti 50% ruang bilik,” katanya.
Beliau berkata, bagi sektor pelancongan pula, aktiviti seperti penggunaan kemudahan penginapan seperti sauna dan jakuzi adalah dibenarkan dengan kapasiti 50% ruang.
“Taman tema, pusat hiburan keluarga, indoor playground, karaoke keluarga dan permainan mesin kanak-kanak juga dibenarkan beroperasi dengan syarat semua pengusaha, operator dan pengunjung telah lengkap divaksin,” katanya. – FMT
SOURCE: FMT
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق