BUNG Moktar (tiga kanan) bersama Mahdzir Khalid (dua kiri) melaungkan UMNO Bangkit semasa majlis perasmian mesyuarat cawagan berkelompok di Kota Marudu semalam.
KOTA MARUDU: Pemimpin dan ahli-ahli UMNO Sabah diingatkan untuk sentiasa bekerja membantu rakyat di peringkat akar umbi bagi membuktikan parti itu bukan parti bermusim.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) UMNO sudah cukup diuji dan terpaksa menjadi pembangkang maka, kegagalan itu harus menjadi pengajaran untuk UMNO terus bekerja demi rakyat.
“Kegagalan kita mempertahankan kerjaaan merupakan pengalaman yang perit dan ia seharusnya memberi keinsafan kepada semua pemimpin UMNO untuk istiqamah dan memperbaiki kelalaian masa lampau.
“Sebelum ini UMNO Sabah dianggap sudah terkubur dan tidak relevan namun, semangat juang yang tinggi ahli menyebabkan tiada satu cawangan atau bahagian di Sabah dibubarkan selepas PRU-14. Inilah bukti slogan parti UMNO Dulu, Kini dan Selamanya sudah sebati dalam jiwa ahli-ahli ,” katanya semasa majlis perasmian mesyuarat cawangan berkelompok zon Pitas dan Bengkoka semalam.
Mesyuarat berkenaan dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, pada masa ini UMNO tidak berhadapan kesukaran untuk memperkukuhkan jentera parti kerana semua pemimpin dan ahli di peringkat bahagian dan cawangan memainkan peranan masing-masing.
Bung Moktar, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah percaya jika semua sayap parti memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing, parti itu akan terus kukuh dan mencapai kemenangan pada PRU-15.
Justeru, Ahli Parlimen Kinabatangan ini mahu semua ahli-ahli di peringkat akar umbi untuk menjadikan mesyuarat sebagai medan mencapai permaufakatan di samping mengatur strategi bagi menghadapi PRU-15.
Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan Ketua UMNO Bahagian Kudat, Akram Ismail. – UTUSAN ONLINE
SOURCE: Utusan
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق