Kastam Sabah gagalkan cubaan seludup 12.40 kg dadah bernilai lebih RM500,000

Picture
RAMPAS: Abdullah menunjukkan rampasan dadah di dalam bungkusan jernih yang dimasukkan ke dalam kotak polisterin berisi ikan segar.
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)


KOTA KINABALU: Tindakan penjenayah menggunakan taktik menyeludup dadah seberat 12.411 kilogram (kg) di dalam kotak polisterin berisi ikan segar berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu serbuan di sini hujung bulan lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Sabah Datuk Abdullah Jaapar berkata modus operandi bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan meletakkan dadah meyerupai bungkusan ais itu adalah rampasan kali kedua untuk tahun ini.


“Rampasan berjaya dibuat apabila pasukan Kastam mengesan objek mencurigakan di dalam kotak polisterin semasa bungkusan berkenaan melalui pemeriksaan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) di sini kira-kira jam 5 petang pada 29 September lalu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 23 bungkusan yang mengandungi bahan terlarang dadah di dalam kotak polisterin dagangan ikan sejukbeku untuk tujuan eksport ke luar negara,” katanya semasa sidang media di Menara Kastam Sabah di sini semalam.


Beliau berkata kesemua bungkusan kemudiannya dirampas untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil siasatan lanjut mendapati 23 bungkusan terbabit mengandungi hablur jernih dipercayai dadah jenis Methamphetamine seberat 9.221 kg dengan nilai anggaran sebanyak RM331,956 dan dadah jenis Ketamine sebarat 3.190 kg bernilai RM169,000.


“Kesemua 12.411 kg dadah adalah dianggarkan bernilai RM501,026 yang boleh digunakan lebih daripada 50,000 pengguna,” katanya.

Bercakap lanjut berkenaan modus operandi yang digunakan oleh suspek, Abdullah berkata tindakan memasukkan kira-kira 500 gram dadah di dalam setiap kotak polisterin adalah taktik baharu dan pihaknya sudah membuat dua tangkapan bagi kegiatan sama tahun ini.


“Buat masa ini kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk aliran pergerakan barangan yang dieksport ke luar negara bagi mengetahui sama ada kedua-dua kes rampasan adalah saling berkaitan atau sebaliknya berikutan tempoh tangkapan berlaku dalam tempoh yang agak dekat.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) (b) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat penyeludupan dadah bagi memberi sokongan kepada pihak berkuasa dalam memastikan negara bebas dari najis dadah,” katanya.

SOURCE: Utusan Borneo

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.