Wilfred Madius Tangau berkata penggunaan istilah berkenaan adalah tidak wajar dan mencerminkan penulis ucapan itu mempunyai pemikiran Malaysia hanya di Semenanjung.
KOTA KINABALU: Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau mengecam kenyataan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali yang menggunakan istilah “termasuk di Sabah dan Sarawak” dalam ucapan penggulungan di Dewan Rakyat, semalam.
Dalam hantarannya di Facebook, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran, berkata penggunaan istilah berkenaan adalah tidak wajar dan mencerminkan penulis ucapan itu mempunyai pemikiran Malaysia hanya di Semenanjung.
“Baca betul-betul kenyataan Menteri Kanan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini. Pernahkah kita tanya kenapa perlu disebut “termasuk Sabah dan Sarawak?”
“Bukankah kenyataan ini cerminan kepada pola pemikiran ataupun “mindset” penulis dan pengucap?
“Pada saya sebutan ‘termasuk Sabah dan Sarawak’ itu berbangkit kerana pola pemikiran penulis melihat Malaysia itu samalah ataupun merujuk kepada Semenanjung Malaysia. Semenanjung Malaysia itu adalah Malaysia, dan Malaysia itu adalah Semenanjung Malaysia.
“Akhirnya pembangunan Semenanjung Malaysia itu diambil sebagai pembangunan Malaysia. Sebab itu, wilayah Sabah dan wilayah Sarawak difikirkan setakat “termasuk” dalam pelan pembangunan atau bukan sebagai keutamaan,” katanya.
Madius berkata, semua harus sedar wilayah Sabah dan wilayah Sarawak itu dengan jumlah keluasan 60% keseluruhan tanah Malaysia adalah “Tanah Besar Malaysia” yang sebenar.
“Tetapi kenapa setakat “termasuk” dalam perancangan pembangunan dan bukannya keutamaan ataupun rujukan utama dalam perancangan pembangunan Malaysia,” katanya.
Terdahulu, istilah berkenaan telah digunakan Azmin dalam ucapan penggulungan berkaitan kelestarian pembangunan kawasan perindustrian.
Katanya, bagi memastikan kelestarian pembangunan kawasan perindustrian termasuk di Sabah dan Sarawak, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan meneruskan inisiatif menaik taraf dan memperbaiki infrastruktur asas kawasan perindustrian sedia ada.
SOURCE: FMT
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق