Mengecewakan, Susulan GRS Tak Teruskan Rundingan Ambil Alih SESB, Kata Ahli Parlimen DAP

Picture
Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Fong Hin berkata, Ketua Menteri Hajiji Noor memaklumkan bahawa Sabah hanya bersedia mengambil alih SESB untuk urusan penjanaan elektrik di negeri itu dalam masa lima hingga tujuh tahun dari sekarang.
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata, tindakan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak meneruskan rundingan untuk mengembalikan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri daripada kerajaan persekutuan amat mengecewakan.

Chan mendakwa, Ketua Menteri Hajiji Noor dilihat secara diam-diam menghentikan rundingan itu yang dimulakan antara kerajaan negeri pimpinan Warisan serta kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.


Katanya, Hajiji dilaporkan telah memaklumkan kepada kerajaan persekutuan pada 4 Mac lalu bahawa negeri itu hanya bersedia mengambil alih SESB untuk urusan penjanaan elektrik di Sabah dalam masa lima hingga tujuh tahun dari sekarang.

“Ini berdasarkan jawapan diberikan kepada saya oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju, di kamar khas Parlimen mengenai soalan saya berhubung status terkini penyerahan SESB dan kuasa untuk mengurus penjanaan elektrik kepada Sabah.



“Kita semua tahu bahawa SESB mengalami kerugian dengan beroperasi menggunakan modelnya yang ada sekarang dan kadar tarif elektrik dikenakan kepada pengguna tidak menentu, iaitu pada kadar purata 34.52 sen/kWh yang jauh lebih rendah berbanding kos bekalan elektrik terbaharu, iaitu 42.34 sen / kWh tanpa subsidi bahan bakar.


“Timbalan menteri (Ali) juga mendakwa, jumlah subsidi yang disalurkan kepada SESB sejak 16 tahun lalu mencapai RM7.6 bilion dan walaupun dengan subsidi, kos pembekalan elektrik ketika ini hanya berkurangan kepada 36.85 sen/kWh, yang masih menjadi satu perniagaan merugikan,” katanya pada sidang media.

Chan berkata, beliau telah bercakap dengan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin yang memaklumkan bahawa perjanjian untuk menyerahkan SESB kepada Sabah hampir mencapai persetujuan pada Feb 2020.


Katanya, bekas Ketua Menteri Shafie Apdal yang merupakan antara individu penting dalam rundingan itu juga menuntut subsidi sebanyak RM10 bilion untuk pengambilalihan SESB dan kerajaan persekutuan yang diterajui PH ketika itu bersetuju memberikan RM8 bilion berbanding hanya RM7.5 bilion sejak 16 tahun lalu.

“Dalam hal ini, jelas kerajaan Warisan dan PH sangat komited dengan perbincangan pengambilalihan SESB ini, bukan hanya itu, tetapi hal lain seperti kuasa pengawal seliaannya SESB dikembalikan kepada Sabah termasuk membentuk komisen tenaga untuk Sabah.

“Sekiranya perbincangan itu diteruskan, pada akhirnya SESB bukan sahaja menjadi milik Sabah tetapi kuasa untuk mengurus penjanaan elektrik juga akan menjadi milik kerajaan negeri,” katanya. – FMT

SOURCE: FMT

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.