Zie yang mengalami masalah pekak serta pertuturan yang tidak jelas, tetap gigih menjalankan perniagaan secara dalam talian.
MENJUAL pakaian secara dalam talian bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.Pelbagai cara kreatif perlu dilakukan demi menarik perhatian warga maya untuk 'singgah' menonton, seterusnya membeli.
Ada yang berdiri membuat jualan live berjam-jam lamanya, bercakap tanpa henti malah ada yang sanggup berniaga sehingga awal pagi demi mencari rezeki.
Justeru bayangkan cabaran yang perlu dilalui oleh peniaga ini yang tidak mempunyai keupayaan untuk mendengar dan bertutur dengan jelas.
Dilahirkan pekak, seorang penjual dalam talian yang hanya ingin dikenali sebagai Zie, 34, tular baru-baru ini apabila video dia sedang berniaga live dikongsikan pengguna @mynamejoyyy di laman TikTok.
Video tersebut setakat ini mendapat hampir 200,000 tontonan.
Bercakap kepada mStar, Zie berkata dia sebenarnya mempunyai suara namun pertuturannya kurang jelas, justeru dia terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi.
“Sebenarnya saya tak bisu sepenuhnya, cuma lahir pekak... bila pekak saya tak dengar apa yang orang sebut, jadi susah nak belajar bercakap tapi masih boleh bersuara. Suara memang ada tapi lebih kepada bunyi untuk panggil seseorang atau nak tarik perhatian mereka.
“Ada juga beberapa perkataan yang boleh sebut tapi mungkin kurang jelas sebutannya,” katanya.
Menetap di Kota Kinabalu, Sabah, Zie berkata, kerosakan organ pendengaran yang kritikal menyebabkan alat bantuan pendengaran juga tidak mampu membantunya untuk mendengar.
“Bila pakai hearing aid pun hanya akan amplify (kuatkan) bunyi-bunyi yang sedia kuat, tak banyak membantu saya mendengar apa yang orang sedang cakap.
“Masa kecil saya memang selalu tanggal hearing aid, sekarang memang tak guna sebab tak membantu sangat,” katanya.
Menurut Zie, dalam tiga orang adik beradik hanya dia seorang yang mengalami masalah pekak.
Berkongsi mengenai perniagaan dalam taliannya, Zie berkata dia sememangnya minat untuk menceburi dunia perniagaan sejak dahulu lagi, oleh itu dia memilih untuk bermula secara kecil-kecilan.
“Sebelum ini dah banyak buat kerja lain, kerja di restoran KFC, tukang cuci, kerja car wash, supermarket, housekeeping di hotel, packer (bungkus barang)... sekarang saya mahu cuba bekerja sendiri, susun jadual sendiri dan urus sendiri.
“Jualan secara live ni menarik walaupun mencabar sebab saya tidak bercakap, tapi saya juga mahu orang lain belajar bahasa isyarat, saya minta bantuan kakak untuk bantu alih bahasa.
“Saya harap saya boleh kembangkan bisnes, saya memang sedang mencari idea untuk kembangkan lagi bisnes bundle sweatshirt dengan hoodies ini,” katanya yang baru memulakan perniagaan sejak Jun lalu.
Menurut Zie, cabaran utamanya dalam berniaga semestinya komunikasi.
“Kalau orang tidak tahu berbahasa isyarat, saya cuma akan buat tekaan dan selalunya memang kurang tepat.
“Bila melihat orang lain bercakap saya akan tengok muka dan pergerakan badan untuk teka apa yang dibincangkan,” katanya sambil menambah selama ini dia banyak dibantu kakak dan abang iparnya.
Selain itu katanya, dia juga tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang perniagaan.Saya akan live setiap hari kecuali hari Rabu, dari pukul 10 malam sehingga 12 tengah malam atau paling lewat pukul 1 pagi.
ZIE
“Mula-mula memang agak sukar sebab saya tiada pengalaman.
“Saya akan live setiap hari kecuali hari Rabu, dari pukul 10 malam sehingga 12 tengah malam atau paling lewat pukul 1 pagi,” katanya.
Menurut Zie, dia perlu tidur lebih awal demi menjaga kesihatan matanya.
“Saya tidur pukul 1pagi sebab mata saya bermasalah, mata kiri tak nampak, mata kanan pula perlu jaga tekanan," katanya.
Berkongsi mesej kepada rakan-rakan yang senasib dengannya, Zie berkata, golongan pekak tidak seharusnya berputus asa dan teruskan berusaha untuk berjaya.
“Untuk kawan-kawan pekak, saya doakan semua tidak putus asa, terus belajar dan terus berusaha,” katanya.
SOURCE:
mstar
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق