Perisik ESSCOM Gagalkan Aktiviti Kumpulan Abu Sayyaf

Picture
Gambar hiasan
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)


KUALA LUMPUR: Operasi khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya menggagal serta melumpuhkan 7 aktiviti kumpulan Abu Sayyaf (ASG) sepanjang tahun lalu dan tahun ini.


Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata empat aktiviti yang berjaya digagalkan itu adalah pada tahun lalu, manakala tiga lagi aktiviti yang dilumpuhkan pada tahun ini.


Katanya, kejayaan mengekang ancaman ASG itu adalah hasil penggunaan kaedah perisikan manusia (human intelligence) yang menjadi antara aspek penting yang dititikberatkan ESSCOM bagi mengekalkan tahap pengoperasian yang tinggi.

"Kaedah ini menekankan pengumpulan maklumat daripada individu atau kumpulan sasaran tertentu melalui libat urus agensi dengan individu, kumpulan atau komuniti.


"Kaedah interaksi sosial yang dilaksanakan sekarang memberi impak positif dengan perubahan persepsi masyarakat bahawa kerajaan sentiasa menitikberatkan faktor keselamatan nyawa dan harta benda rakyat di kawasan terbabit.

"Kejayaan kerajaan menggagal serta melumpuhkan empat aktiviti ASG pada 2020 dan tiga aktiviti ASG pada tahun ini membuktikan keberkesanan elemen perisikan yang dilaksanakan pada masa ini," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.


Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bashir Alias yang bertanyakan tahap persediaan keselamatan ESSCOM dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dari aspek perisikan manusia bagi mengatasi ancaman pencerobohan kumpulan pengganas, terutamanya Abu Sayyaf.

Bashir kemudian bertanya soalan tambahan mengenai sejauh mana prinsip perisikan manusia diterap dalam ESSCOM dan ESZONE bagi tangani pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Menjawab soalan itu, Ismail memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited memastikan keselamatan dan kedaulatan negara, khususnya membabitkan ASG yang sentiasa memberi ancaman kepada negara.

"Kita sentiasa lakukan pemantauan perjalanan operasi di lapangan, serta jika berlaku penyelewengan dan kebocoran maklumat sama ada daripada pegawai atau mana-mana anggota, kita akan kenakan tindakan tegas.

"Saya juga ucap ribuan terima kasih kepada masyarakat setempat dan kumpulan komuniti tertentu yang sentiasa memberi maklumat sekiranya ada ancaman pencerobohan ke dalam negara," katanya.

SOURCE: Berita Harian

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

أحدث أقدم