Tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Mega Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 20 Ogos lalu. Kadar pemberian vaksinasi di Sabah masih merekodkan peratusa yang rendah. Populasi dewasa Sabah yang divaksin kini 63.3 peratus tapi jumlah yang datang PPV semakin berkurangan. - Foto fail NSTP
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) optimis semua negeri dan wilayah kecuali Sabah akan mencapai kadar 80 peratus populasi dewasa menerima suntikan lengkap vaksin COVID-19, bulan ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata berdasarkan data terkini, KKM melihat Sabah sebagai satu-satunya negeri yang sukar untuk mencapai kadar 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.
Ini berikutan jumlah populasi dewasa yang hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) untuk menerima suntikan di Sabah kini semakin berkurangan walaupun kadar populasi dewasa yang lengkap divaksin di negeri itu baru mencecah 63.3 peratus.
“Saya dah berhubung dengan pengarah kesihatan negeri untuk mempertingkatkan lagi program ‘outreach’ (capaian) kepada penduduk di Sabah.
“Di Sabah, orang dewasa yang datang ke PPV sudah tidak ramai. Kita kena usahakan dan gunakan sumber yang ada untuk gerakkan program outreach dan kempen vaksinasi kepada masyarakat di Sabah.
“Itu cara untuk pastikan kadar vaksinasi di Sabah mencapai nilai ambang 80 peratus. Negeri lain seperti Kelantan, Kedah dan Perak dijangka capai sasaran bulan ini berdasarkan jumlah penerima dos pertama,” katanya pada sidang media selepas melawat Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya strategi KKM untuk meningkatkan vaksinasi di lima negeri iaitu Sabah, Kelantan, Kedah,, Perak dan Pahang, yang masih mencatat kadar di bawah 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.
Mengulas mengenai suntikan dos penggalak, Khairy memaklumkan ia tidak akan diwajibkan, sebaliknya hanya ditawarkan kepada individu yang layak seperti warga emas, komorbiditi, petugas barisan hadapan dan yang memiliki masalah sistem imun.
Bagi individu yang tidak menerima dos penggalak, katanya, ia tidak akan menjejaskan status mereka sebagai penerima dos lengkap vaksin.
“Kita akan tawarkan dos penggalak kepada kumpulan yang layak menerimanya. Ia bukan wajib atau mandatori untuk terima suntikan ini.
“Kita tidak akan paksa, tapi amat menggalakkan kepada mereka yang layak untuk tampil mengambil dos penggalak selepas enam bulan menerima dos kedua,” katanya. – BH Online
SOURCE: Berita Harian
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق