218 kes baharu Covid-19 hari ini; Satu lagi kluster melibatkan sekolah tercetus di Ranau, 7 positif
KOTA KINABALU: Satu lagi kluster COVID-19 berkaitan jangkitan dalam institusi pendidikan dilaporkan di Sabah hari ini, iaitu yang kelima dilaporkan dalam tempoh seminggu sejak Ahad lalu.Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster itu tercetus selepas seorang pelajar asrama perempuan disahkan positif COVID-19, sebelum enam lagi rakan sebilik turut dikesan positif.
Gambar fail Bernama menunjukkan seorang pekerja kesihatan sedang menjalankan ujian calitan Covid-19.
"Indeks kes ialah seorang pelajar asrama perempuan SMK Kundasang yang berumur 16 tahun. Dia mula bergejala pada 17 Januari 2022, kemudian melakukan ujian kendiri dan disahkan positif melalui saringan PCR.
"Saringan ke atas kontak rapat yang membabitkan 70 orang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan setakat ini enam lagi pelajar rakan sebilik kes indeks didapati positif menjadikan tujuh kes keseluruhan setakat ini.
"Kesemua pesakit bagaimanapun berada dalam Kategori 1 dan 2. Mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan yang sesuai," katanya dalam kenyataan, petang ini.
Setakat ini, kluster berkenaan mencatat tujuh kes positif COVID-19 termasuk kes indeks dengan lima daripadanya dilaporkan pada hari ini.
Kluster berkenaan adalah yang kelima berkaitan jangkitan dalam institusi pendidikan yang dilaporkan di seluruh negeri sejak Ahad lalu.
Kelmarin, Kluster Pandan-Pandan membabitkan kakitangan dan pelajar sebuah madrasah dilaporkan di Putatan, manakala sebelum itu jangkitan membabitkan pelajar asrama dilaporkan dalam Kluster Jalan Pertukangan, Sandakan (Rabu); Kluster Puri, Ranau (Selasa) dan Kluster Jalan Kepayan Lama, Tambunan (Ahad).
Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata jumlah kes baharu COVID-19 di Sabah kembali meningkat kepada 218 kes hari ini, berbanding 176 kes semalam.
SOURCE: Berita harian
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment