Tawau: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan terhadap seorang buruh ladang selepas mengaku bersalah dalam dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua anak kandungnya pada 2020 dan tahun lalu.
Lelaki warga Indonesia berumur 50 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan selaku hakim.
Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Tawau.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang anak perempuannya yang berumur 17 tahun dengan meraba kaki kirinya di sebuah rumah pekerja di Ladang Belian, Benta Wawasan, Jalan Luasong, Kalabakan pada kira-kira jam 10 malam, akhir Ogos 2020.
Menerusi pertuduhan kedua pula, lelaki berkenaan didakwa meraba bahagian lutut kiri seorang lagi anak perempuannya yang berusia 15 tahun di lokasi yang sama pada kira-kira jam 11 malam, Januari 2021.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat.
Pertuduhan turut dibacakan bersama Seksyen 16 (1) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman tambahan penjara tidak lebih lima tahun serta tidak kurang dua sebatan.
Mengikut fakta kes, mangsa dikatakan menghubungi bapa saudaranya yang berada di Keningau pada 22 Disember 2021 sebelum memaklumkan tindakan tertuduh mengugut untuk membunuh seorang kakaknya menggunakan tombak.
Berikutan itu, bapa saudara mangsa yang juga pengadu dalam kes berkenaan bertindak datang ke kediaman mereka di Tawau untuk berbincang sebelum mengetahui yang tertuduh merogol dan meraba mangsa sejak 2016.
Selepas itu, pengadu mendapatkan nasihat Konsulat Republik Indonesia sebelum melaporkan kes berkenaan kepada polis yang akhirnya membawa kepada penahanan lelaki terbabit pada 11 Januari 2022.
Ketika prosiding hari ini, tertuduh meminta mahkamah meringankan hukuman ke atasnya kerana perlu menyara keluarga selain menyesali perbuatannya sebelum ini.
Bagaimanapun, dalam penghakimannya, Amir Shah menjelaskan kesalahan tertuduh adalah berat dan serius selain mengambil kira kepentingan awam serta trauma emosi dialami mangsa yang juga anak kandungnya.
Sehubungan itu, Amir Shah menetapkan tertuduh dipenjara selama 10 tahun dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan dengan setiap hukuman dijalankan secara berasingan sebelum tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman.
Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Suriana mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Jhassary Kang.
-Deasoka
SOURCE: deasoka.com
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق