KKIA mungkin berpindah ke Kimanis
KKIA mungkin dipindah dari Petagas, Kota Kinabalu ke Kimanis.
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah menerusi cabang pelaburan strategiknya Qhazanah Sabah Bhd (QSB), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pemaju hartanah Berjaya Land Bhd (BLand) untuk meneroka kemungkinan pemindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kimanis.
Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Qhazanah Sabah Bhd (QSB), Ahmad Rizal Dahil, pengerusi QSB Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak, pengasas dan pengerusi Berjaya Corp Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan bersama Berjaya Corp Syed Ali Shahul Hameed.
Menurut syarikat berkenaan, MoU itu merangkumi pemindahan KKIA yang membabitkan pembinaan dan pembangunan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kimanis serta pelan pembangunan mampan di Kimanis atau mana-mana kawasan yang difikir sesuai oleh kerajaan Sabah.
"Sebuah syarikat tujuan khas akan melaksanakan projek yang dicadangkan selepas selesai kajian terperinci teknikal dan kemungkinan kewangan, pelan perniagaan strategik dan cadangan pemodelan kewangan yang akan dipersetujui kedua-dua pihak," kata mereka dalam satu kenyataan bersama, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan QSB, Ahmad Rizal Dahli, berkata syarikat itu ditugaskan untuk meneliti pelbagai inisiatif pembangunan strategik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah, termasuk kemungkinan pemindahan KKIA ke Kimanis.
Penempatan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu telah dicadangkan dalam pelbagai perbincangan selama sedekad, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qhazanah Sabah Bhd Ahmad Rizal Dahli.
Beliau berkata, MoU itu mewujudkan kerjasama awal antara QSB dan BLand, membuka jalan kepada QSB untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan kerja-kerja penerokaan bagi projek yang dicadangkan itu.
"Penempatan semula KKIA dicadangkan dalam pelbagai perbincangan secara menyeluruh selama sedekad. MoU ini membolehkan kita melihat perkara ini dengan lebih terperinci, terutama dari segi daya maju ekonomi dan penilaian impak sosial.
"Kami tidak sabar untuk memanfaatkan kepakaran yang dibawa oleh perkongsian awal dengan BLand, khususnya mengenai pembangunan infrastruktur," katanya.
Ahmad Rizal berkata, KKIA tidak mungkin dapat diperbesarkan dari segi operasi, termasuk pembesaran bangunan terminal dan landasan serta kemudahan lain kerana keluasan tanah yang terhad dan lokasi semasanya, yang dikelilingi tanah milik persendirian dan berhampiran pusat bandar Kota Kinabalu.
"Kedekatan itu boleh menjadi salah satu faktor risiko kelewatan pembangunan pusat bandar berikutan peraturan dan sekatan ditetapkan disebabkan mempunyai lapangan terbang berdekatan.
"Penempatan semula KKIA ke Kimanis, sebaliknya, boleh menjadikan lapangan terbang itu mempunyai lebih daripada satu bangunan terminal dan landasan," jelasnya. – BERNAMA
SOURCE: BH
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق