Wanita maut disyaki dipukul abang kandung ketika bergaduh
Kota Kinabalu: Wanita maut dipercayai dipukul oleh abang kandungnya dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Signal Hill, di sini, pada 4 Mei lalu.
Mangsa berusia 25 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri dengan kesan luka yang teruk dan berdarah di muka oleh ayahnya jam 4.30 petang.
Mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II, untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada Sabtu lalu, selepas beberapa hari dirawat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, susulan itu polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun iaitu abang kepada mangsa.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan oleh abang mangsa kerana mengikut keterangan daripada keluarga, ketika kejadian hanya mangsa bersama abangnya sahaja berada di rumah.
"Kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan di antara kedua-dua beradik terbabit kerana mangsa dan suspek sering bergaduh.
"Namun motif kejadian pergaduhan itu belum dapati dipasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kalsom berkata, tiada senjata yang ditemui di tempat kejadian namun polis merampas dua bentuk cincin yang dipakai suspek.
"Mangsa yang menerima rawatan akibat parah di HQE II disahkan meninggal dunia jam 10.30 malam, Sabtu lalu.
"Suspek kini direman dan ujian air kencing mendapati suspek negatif terhadap dadah," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
SOURCE: Harian Metro
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق