Ranau, Kundasang destinasi pelancongan popular di Sabah
RANAU: Daerah Ranau dan Kundasang terus menjadi pilihan pelancong dari luar negeri yang mahukan suasana percutian yang segar serta kaya flora dan faunanya.
LASAK: Siti Hawa (kiri) dan Reuti semasa menaiki Sky Bike di Kigiok Ranau.
Dua pelancong dari Kuala Lumpur yang ditemui, masing-masing menzahirkan rasa gembira kerana dapat menikmati percutian yang menyeronokkan.
Siti Hawa Ahmad, 51 dan Reuti Susanti Amran,50, yang gemar melakukan aktiviti lasak berkesempatan berkunjung ke Mount Kinabalu Sky Bike di Kampung Kigiok, enam kilometer dari pekan Ranau.
Susanti berkata, percutian ke daerah ini memang sangat berbaloi kerana lokasinya kaya dengan flora dan fauna yang belum terusik.
“Panaroma berlatar belakang Gunung Kinabalu memang suatu pengalaman percutian yang tidak boleh dilupakan dan tidak terdapat dimana-mana tempat.
“Walaupun lawatan kami ini singkat, tetapi sempat juga berkunjung ke lokasi-lokasi menarik di sekitar Kundasang dan Ranau,” katanya.
Sementara itu, Siti Hawa berkata, percutian ke Sabah terutamanya di Kundasang dan Ranau sangat menyeronokkan.
Bagaimanapun, katanya, laluan ke daerah ini sangat mencabar kerana masih banyak jalan raya yang rosak, sempit dan berbahaya.
“Saya berharap kerajaan Sabah dapat menaik taraf jalan raya ke daerah ini demi keselesaan pelancong yang mahu datang berkunjung ke daerah Ranau dan Kundasang,” katanya.
Terdahulu, kedua-dua mereka adalah antara 32 pelancong dari Kuala Lumpur yang datang melancong ke daerah ini.
Mereka turut melawat ke Dairy Farm Kundasang, Taman Air Panas Poring, Marakau Bombon, Ranau Rabbit Farm (RRF) Kigiok, Sabah Teh Nalapak dan Taman Warisan Gunung Kinabalu.
Selain itu, mereka sempat melawat Taman Sepilok Sandakan dan sekitar Kota Kinabalu sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur.
KENANGAN: Azlishah (empat kiri) bersama rombongan berkunjung ke Ranau Rabbit Farm.
Azlishah Ahmad yang mengetuai rombongan pelancong dari Pulau Pinang berkata, keadaan jalan raya kurang memuaskan tidak menghalang mereka datang mengunjungi daerah ini.
Katanya, mereka bertekad datang ke Ranau dan Kundasang walaupun terpaksa melalui jalan raya yang sempit, selekoh tajam dan curam.
“Syukur perjalanan kami ke daerah ini sangat lancar dan selamat sampai ke destinasi penginapan seperti yang dirancang.
“Lokasi menarik yang sempat kami kunjungi termasuklah Dairy Farm, Taman Kinabalu, Bukit Sosodikon, Marakau Bombon, Ranau Rabbit Farm (RRF), Mont K Skybike dan Sabah Teh,” katanya.
Azlishah berkata, mereka sangat bertuah kerana berpeluang menjejakkan kaki ke daerah yang sangat cantik dan setanding dengan pusat pelancongan di luar negara.
“Perjalanan ke Ranau dan Kundasang memberikan pengalaman baharu dan kenangan manis yang kami tidak akan lupakan sampai bila-bila.
“Selepas daerah ini, kami akan melawat Tamparuli dan Kota Kinabalu, sebelum balik ke semenanjung,” katanya.
SOURCE: Utusan Borneo
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق