LOKASI mayat Sefuan ditemukan di dalam longkang di bahu jalan di Jalan Putatan, berhampiran Kem Lok Kawi. FOTO ihsan pembaca .
Lelaki 10 hari hilang ditemui dalam longkang bersama motosikal
Penampang: Seorang pekerja pembersihan terkejut selepas menemui mayat lelaki di dalam longkang di bahu jalan di Jalan Putatan berhampiran Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.
Mayat Sefuan Taha, 33, yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak 23 Julai lalu ditemukan berada di tepi motosikal miliknya.
Pekerja itu, Ibnu Ismail, 64, berkata, sebelum penemuan itu, dia bersama beberapa rakannya sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan semak di bahu jalan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, ketika sedang menebas rumput, dia melihat tayar motosikal dalam longkang dan mendekati bagi mengambilnya untuk dijual.
"Apabila menghampiri saya terkejut melihat seorang lelaki lengkap berpakaian dalam keadaan terduduk bersebelahan dengan motosikal berkenaan.
"Saya tergamam dan terus memaklumkan kepada rakan untuk menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan, hari ini.
Ibnu berkata, dia yang sudah bekerja sebagai pemotongan rumput setahun lalu tidak terhidu bau pelik di tempat kejadian.
"Saya melihat keadaan mangsa baik saja. Saya tidak tahu mangsa adalah orang yang dilaporkan hilang sejak 23 Julai lalu.
"Pada Jumaat lalu, saya dan rakan ada membuat kerja-kerja membersihkan rumput di tengah pembahagi jalan di berhampiran dengan lokasi penemuan mayat ini namun tidak ada yang mencurigakan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan penemuan berkenaan pada jam 8.35 pagi.
Katanya, hasil siasatan awal, polis mendapati mangsa bergerak dari arah Kota Kinabalu ke Papar sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam longkang berkenaan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas ditemui oleh pekerja pembersihan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.
Sammy berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat.
Sehubungan itu, Sammy meminta orang awam supaya tidak menyebarkan gambar mangsa di lokasi kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga.
Difahamkan, ahli keluarga mangsa sudah membuat pengecaman dan mengesahkan mangsa adalah Sefuan.
SOURCE: Harian Metro
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق