Ibu maut, anak selamat terbabit kemalangan ke sekolah
KOTA KINABALU: Seorang wanita maut selepas terbabit kemalangan semasa dalam perjalanan ke sekolah bersama anak perempuannya berusia sembilan tahun di sini awal pagi Rabu.Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian berlaku jam 5.12 pagi apabila kenderaan sedan dipandu mangsa dirempuh sebuah kereta kompak di Jalan Lintas, berhampiran sebuah restoran di Cybercity.
Katanya, mangsa berumur 46 tahun yang bekerja sebagai kerani di Sekolah Kebangsaan St Francis Convent Kota Kinabalu, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala anak perempuannya selamat.
Kasim berkata, impak kemalangan menyebabkan pemandu kereta sedan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan bertugas.
"Hasil siasatan mendapati kecuaian disebabkan oleh pemandu kenderaan kompak berkenaan yang cuai di dalam pemanduannya sehingga hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke arah laluan bertentangan dan merempuh pemandu sedan.
"Pihak polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.
Sementara itu, sepasukan anggota bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan berada di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta sedan.
SOURCE: utusanborneo.com.my
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment