Oleh : Muhammad Fakhrul Hakim Nasrudin ( Pelajar Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)
KOTA KINABALU – Sepasang anak-beranak mencipta legasi keluarga cemerlang apabila ayahnya berjaya menamatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) manakala anaknya berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen Univerisiti Malaysia Sabah (UMS) ke-26 yang berlangsung baru-baru ini.Dr. Azmi Abd Majid, 52, merupakan graduan PhD dalam bidang perbankan dan kewangan di bawah Fakulti Perniagaan Ekonomi Dan Perakaunan (FPEP), manakala anaknya Aleeya Batrisyia 22, merupakan graduan Fakulti Psikologi dan Pendidikan dengan PNGK 3.83.
Azmi ketika berkongsi kejayaan mendapatkan PhD berkata, beliau mula menjadikan gelaran PhD sebagai cita-cita peribadi setelah mula beralih ke bidang akademik sebagai pensyarah pada tahun 2016 setelah berkhidmat selama 19 tahun dalam industri kewangan dan perbankan sebelum itu.
“Saya percaya dengan memiliki PhD dapat meningkatkan keyakinan yang lebih sebenarnya dan juga memberi ruang untuk menerapkan pengalaman dalam konteks keilmuan yang lebih luas.
“Saya menekankan kepentingan keseimbangan terhadap tanggungjawab akademik dan keluarga.
“Apabila anak-anak sudah dewasa, saya dapat menfokuskan kepada penyelesaian tesis sepenuhnya walaupun umur meningkat naik.
“Ramai orang kata bila tua, kita perlu berehat, tetapi bagi saya, ia bergantung kepada motivasi, yang penting, mahu atau tidak mahu habiskan,” katanya.
Nasihat tersebut turut mempengaruhi Aleeya Batrisyia, yang menyifatkan kejayaannya sebagai hadiah untuk ibu bapanya.
“Saya gembira dapat habiskan pengajian bersama ayah dan bangga dapat hadiahkan ijazah kelas pertama pada mereka.
“Nasihat ayah saya “belajar sebanyak mungkin” menjadi motivasi cemerlang dalam akademik sekali gus dapat memberikan keseriusan dalam akademik,” katanya.
Aleeya turut merancang mengikuti jejak ayahnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Saya merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang yang sama tetapi lebih spesifik iaitu terapi berbual.
“Minat saya lebih kepada bidang terapi dan saya ingin mendalaminya dengan lebih mendalam,” ujarnya lagi.
Kisah inspirasi Dr. Azmi dan Aleeya Batrisyia menjadi bukti bahawa sokongan keluarga memainkan peranan masing-masing dan dedikasi tersebut mampu menjadikan impian satu kenyataan dan membina generasi keluarga ke arah kecemerlangan.
SOURCE: facebook.com
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment