
Musa Aman bakal TYT baharu Sabah?

Difahamkan, nama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu berada dalam senarai utama bagi menggantikan TYT sekarang, Tun Juhar Mahiruddin.
Tun Juhar akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember ini selepas memegang jawatan berkenaan sejak 2011, menjadikannya TYT paling lama berkhidmat setakat ini.
Berita mengenai perkara itu mula tersebar di media sosial sejak semalam yang menyebut Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 17 Dec 2024, jam 9.30 pagi hingga 11 pagi di Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Bagaimanapun, kesahihan mengenai perkara itu belum dapat dipastikan sehingga istiadat berkenaan berlangsung pada Selasa depan.

Pada 23 Disember 2022, Tun Juhar menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung khidmatnya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah bagi tempoh dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Lantikan penggal keempat bagi Tun Juhar itu berkuatkuasa dari 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2024, sekali gus menyaksikan beliau memegang jawatan itu lebih 10 tahun dan paling lama sejak dilantik pada 1 Januari 2011.
Ia selepas pindaan Perlembagaan Negeri Sabah yang dibuat ketika pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Warisan pada 2018 berhubung tempoh penggal perkhidmatan TYT.
Sebelum 2018, seseorang TYT bagi negeri Sabah hanya dibolehkan berkhidmat sehingga dua penggal atau lapan tahun, namun dengan pindaan terhadap Perlembagaan Negeri, tiada lagi had tempoh perkhidmatan ditetapkan.

SOURCE: BH
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment
0Comments