Isteri pengusaha ikan dalam sangkar yang diculik di Kampung Sapang Air, Kunak sejak lima bulan lepas merayu pihak berkuasa dan pihak berkaitan supaya mengusahakan segera pembebasan suami setelah kumpulan penculik itu memberi tempoh sehingga November.
"Mereka sudah marah-marah hari-hari telefon bertanyakan berapa wang yang sudah saya kumpul. Saya tidak tahu mahu cakap apa, kerana saya tiada wang. Wang yang dikumpul hasil pinjaman daripada sanak-saudara tidak cukup dan tidak akan cukup untuk membawa pulang suami saya," kata Chin."Saya tidak boleh tunggu (lagi)...masa sudah tidak cukup (suntuk)," katanya.
Chin Pek Nyen, 42, dari Ipoh, Perak berkata panggilan terakhir daripada kumpulan penculik itu pada Julai lepas, mendesaknya supaya wang tebusan dibayar dan memberi tempoh sehingga November.
Kumpulan penculik itu menuntut wang tebusan RM3 juta bagi pembebasan suaminya, Chan Sai Chiun, 32. Jika gagal kepala suaminya akan dipenggal, katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.
Chin berkata kumpulan penculik itu menghubunginya lebih 200 kali sejak suaminya diculik pada 16 Jun lepas dan panggilan terakhir pada Julai.
Katanya mereka sudah muktamad mahu RM3 juta sehingga November ini sambil menambah sebelum ini kumpulan penculik menuntut tebusan RM15 juta.
"Saya memang susah hati tidak cukup tidur dan tidak lalu makan memikirkan keadaan suami...apa yang dia makan. Apa yang dia minum... mungkin dia sudah kurus sekarang," kata Chin.
Ditanya butir perbualan terakhir dengan suaminya, beliau berkata suaminya banyak mendiamkan diri dan tidak memberitahu sama ada sihat atau dipukul, sebaliknya menggesa beliau mengumpul wang dan mendakwa sering berpindah lokasi persembunyian.
Chin berkata ibu pejabat Polis Kunak turut membantu berunding dengan kumpulan penculik dipercayai dari selatan Filipina itu.
Katanya beliau nekad untuk ke Filipina jika cukup wang untuk mengetahui keadaan suaminya setelah panggilan terakhir itu.
Beliau dan suami memulakan perniagaan ikan dalam sangkar di Kunak Mac lepas setelah tujuh tahun tinggal di Sandakan. Mereka tiada anak.
Dalam kejadian pada kira-kira 12.40 tengah malam itu, Chan dan seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Mazlan berumur sekitar 20-an diculik oleh dua lelaki bersenjata di pusat ternakan ikan itu.
Seorang anggota polis marin Konstabel Zakia Aliep pula diculik sekumpulan penceroboh di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai.
Zakia menjadi mangsa culik keempat selepas insiden penculikan di Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna, Pulau Baik, Lahad Datu dan di Kampung Sapang, barat Pulau Timbun Mata, Kunak.
Post a Comment