Budak nakal punya onar
Ratusan pengunjung di Kompleks beli belah Centre Point, di sini, bertempiaran lari keluar apabila bunyi letupan disusuli gegaran yang disangka gempa bumi sebenarnya bunyi mercun yang dipasang sekumpulan budak nakal.
Bagaimanapun dalam kejadian jam 4 petang tadi itu, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, namun pekerja dan pengunjung dikompleks berkenaan terkejut dengan kejadian itu.Seorang daripada pengunjung kompleks berkenaan Hasaan Sainin, 33, berkata, ketika kejadian dia bersama sepupunya sedang membeli kelengkapan dapur untuk persiapan majlis rumah terbuka malam nanti dan tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat.
"Tanpa fikir panjang, kami terus keluar menyelamatkan diri kerana letupan itu menyebabkan ada gegaran. Ketika itu, saya sangkakan gempa bumi berlaku lagi.
"Beberapa pengunjung turut berlari keluar menyelamatkan diri kerana bimbang sesuatu akan berlaku," katanya ketika ditemui, petang tadi.
Menurutnya, sebaik keluar dari kompleks berkenaan ada pengunjung memaklumkan ia adalah bunyi letupan mercun oleh budak nakal.
Seorang lagi pengunjung Ancu Lanai, 23, berkata, dia terkejut apabila terdengar jeritan menyebabkan terus berlari keluar menyelamatkan diri kerana bimbang bangunan itu akan runtuh.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku...saya rasa bangunan itu bergegar dan beberapa pengunjung berlari sambil menjerit," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra ketika dihubungi berkata, kejadian itu dipercayai dilakukan sekumpulan budak-budak nakal, namun polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu.
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment