LAHAD DATU: Sebanyak 31 rumah di penempatan atas air haram yang dipercayai menjadi sarang penyeludup di Kampung Jeluntung Sungai Udin, Merontai, Tawau, diroboh, Ahad lalu.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Abdul Rashid Harun, berkata operasi berkenaan dilaksana dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan serta membanteras aktiviti penyeludupan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
"Operasi membabitkan pelbagai agensi keselamatan dan penguat kuasa ini adalah sebahagian usaha bersepadu ESSCOM yang meliputi 10 daerah dari Kudat ke Tawau sejauh 1.733.7 kilometer (KM) hasil maklumat orang awam semasa program Semarak Bersama ESSCOM di Desa Wawasan Merotai minggu lalu.
"Selain operasi khas ini, kita sedang melaksana operasi khas lain khususnya di kawasan yang menjadi laluan penyeludup masuk ke negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Daerah terbabit termasuk Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Abdul Rashid berkata, sembilan rumah di penempatan berkenaan sudah dikeluarkan notis roboh dalam masa dua minggu oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) serta Jabatan Perhutanan Sabah cawangan Tawau.
Selain itu, seramai 101 orang diperiksa dan 10 darinya ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri. Turut dirampas, pelbagai barangan kawalan dan bersubsidi termasuk gula dan tepung oleh anggota penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang turut menyertai operasi bersepadu berkenaan.
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment