KOTA KINABALU, 28 Jun (Bernama) -- Penduduk di daerah Ranau diharap terus bersabar dan tidak perlu terlalu takut dengan gegaran kecil yang berlaku di Gunung Kinabalu, kata Pensyarah Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Felix Tongkul.
Felix yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi UMS berkata gegaran kecil seumpama itu adalah suatu kebiasaan di negara lain seperti Jepun, Taiwan, Filipina dan Indonesia."Malahan sekitar 50,000 gegaran bermagnitud kurang daripada 4.0 skala Richter berlaku setiap tahun di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan di sini Ahad.
Felix berkata keadaan gegaran berkenaan tidak cukup kuat untuk menyebabkan kerosakan infrastruktur.
Walau bagaimanapun, katanya gegaran berterusan itu boleh menyebabkan lebih banyak tanah runtuh di kawasan gunung.
"Mengikut rekod kekerapan gempa susulan, kita masih lagi dalam 'fasa aktif'. Ini bermakna, gempa susulan akan berterusan beberapa minggu atau beberapa bulan lagi, dan keadaan ini memang agak luar biasa," jelasnya.
Felix berkata kewujudan 'faktor Gunung Kinabalu tercedera' telah menyebabkan keadaan geologi di daerah itu lebih rumit dan sukar untuk diramal.
Mengulas sebanyak 100 gegaran susulan direkodkan Jabatan Meteorologi Malaysia, Felix berkata mengikut analisa awal terhadap data gempa susulan itu, didapati sebilangan besar pusat gempa terletak di bahagian barat dan barat laut Gunung Kinabalu.
Kedalaman fokus gempa adalah antara 9km dan 33km.
"Kedalaman gempa susulan meningkat ke arah barat dari gunung ke kawasan Tuaran. Ini bermakna satah sesar turun yang menyebabkan gempa bumi utama pada 5 Jun lepas adalah sangat dalam, mencapai lebih 33km dan mempunyai kelebaran sekitar 20km," tambahnya.
Mengulas lanjut, Felix berkata sesar itu terletak di bawah jasad granit Gunung Kinabalu, iaitu jasad seperti 'cendawan butang besar' bersaiz sekitar 3,000 kubik kilometer yang terapung di permukaan kerak bumi.
Sesar utama itu juga menggerakkan beberapa sesar lain yang berdekatan, katanya.
"Ini bermaksud jasad batuan granit Gunung Kinabalu 'terpotong' di bahagian kakinya.
"Keadaan ini telah membuat kawasan gunung kurang stabil dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri," katanya.
Sesar utama dan sesar-sesar lain akan terus bergerak dan boleh menghasilkan gempa-gempa susulan, jika pergerakan mereka terhalang, jelas Felix.
-- BERNAMA
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
Post a Comment