PAPAR: Tiga terbunuh termasuk seorang wanita sarat mengandung, manakala empat parah selepas kenderaan dinaiki terhumban ke dalam gaung berhampiran pejabat Taman Banjaran Crocker di sini, petang tadi.(12/9/15)
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang di Kilometer 40 Jalan Keningau-Kimanis itu, selain wanita berusia 30-an terbabit, dua lagi yang maut ialah wanita berusia 40-an dan kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun.Empat lagi mangsa yang parah ialah seorang lelaki yang juga pemandu kenderaan itu serta tiga wanita, semuanya dianggar berusia 20-an hingga 40-an dan dikejarkan untuk rawatan lanjut di Hospital Papar.
Setakat ini, hubungan semua mangsa masih belum dapat dipastikan.
Difahamkan, kenderaan terbabit yang dalam perjalanan dari Keningau menghala ke Kimanis dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan, sebelum terhumban ke dalam gaung setinggi kira-kira 200 meter. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Dunstan Peter, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.54 petang sebelum menghantar sepasukan anggota yang tiba di lokasi 35 minit kemudian.
"Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut dengan ambulans serta kenderaan orang awam," katanya. Kejadian itu berlaku tidak jauh dari lokasi kemalangan yang mengorbankan lima sekeluarga selepas pacuan empat roda dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung pada 21 Ogos lalu.
Post a Comment