Kereta penjenayah ragut wanita terbabas di hadapan Kompleks Suria Sabah

ANGOTA polis dari unit forensik membuat siasatan pada kenderaan yang terbabit dalam kemalangan Kompleks Suria Sabah, Kota Kinabalu.
Kereta penjenayah terbabas, wanita selamat

KOTA KINABALU: Dua penjenayah bukan saja gagal meragut seorang wanita, malah kenderaan curi dinaiki mereka terbabas dan merempuh tembok di hadapan Kompleks Suria Sabah, di sini, pagi tadi.

Sejurus kejadian jam 7.30 pagi itu, kedua-dua suspek lelaki terbabit yang menaiki sebuah PROTON Iriz, bertempiaran lari bagi mengelak ditahan.

Difahamkan, sebelum kejadian, suspek mengekori seorang wanita sebelum meragut dan menarik mangsa ke dalam kenderaan mereka lalu memecut, namun tidak jauh dari lokasi berkenaan, kenderaan itu terbabas dan merempuh tembok konkrit berhampiran kompleks beli-belah terbabit.

Berikutan itu, kedua-dua suspek keluar dari kenderaan lalu melarikan diri, manakala wanita itu yang tidak cedera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Pada masa sama, sebuah pacuan empat roda turut terbalik dipercayai terbabas selepas mengelak PROTON Iriz dinaiki suspek mengakibatkan pemandu serta penumpangnya cedera.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

“Siasatan awal mendapati kereta digunakan suspek disyaki kenderaan curi dan usaha mengesan mereka giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Polis Buru Dua Lelaki Terlibat Dalam Cubaan Merompak Dalam Kemalangan Jalan Raya

Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden cubaan merompak dan kemalangan jalan raya di sini Rabu pagi. Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata lelaki berkenaan yang berkulit gelap dan berumur antara lewat 20-an dan awal 30-an, telah cuba merompak seorang wanita di belakang sebuah bank di Jalan Gaya di sini kira-kira pukul 6.45 pagi.


Bagaimanapun, satu pergelutan berlaku menyebabkan wanita berumur 27 tahun itu terheret masuk ke dalam kereta Proton Iriz yang dinaiki suspek, katanya.

“Semasa pengadu (wanita) melalui belakang Bank CIMB, seorang lelaki keluar dari sebuah kereta berhampiran dan telah menarik beg pengadu yang tidak dilepaskannya.



Ini menyebabkan pengadu telah terheret masuk ke dalam kereta suspek. Suspek telah memandu kereta tersebut bersama pengadu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Chandra berkata semasa dalam kereta, salah seorang suspek cuba mendapatkan beg tangan pengadu, tetapi terpelanting keluar kereta ketika pengadu meronta-ronta melepaskan diri dari dalam kereta itu.


“Pengadu telah menjerit dan meronta-ronta yang menganggu pemanduan suspek menyebabkan kereta yang dipandu masuk laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta (kenderaan) jenis (Toyota) Hilux warna hitam,” katanya.

Beliau berkata wanita itu berjaya melepaskan diri dan membuat laporan polis, manakala dua suspek berkenaan melarikan diri dan meninggalkan kereta terbabit di tempat kemalangan.

Chandra juga berkata polis mendapati kereta berwarna kelabu itu dilaporkan hilang pada 14 Jan lepas dan menggunakan nombor pendaftaran palsu ketika kejadian. Beliau berkata wanita itu pula hanya mengalami kecederaan ringan iaitu kesan calar pada kaki kanannya. — BERNAMA












Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.