Sampai Bila Matlan Marjan harus dihukum ? Menjadi ikon bola sepak Sabah suatu ketika dahulu. Kelincahan dan tekniknya diatas padang belum ada pengganti. Ke mana Pengurusan Sabah FA dan FAM meletakkan Beliau?
Luahan Hati Lagenda bolasepak Sabah Matlan Marjan!
Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi pengampunan kepada bekas pemain yang pernah terbabit rasuah pada 1994-95 pastinya menggembirakan banyak pihak, khususnya bekas pemain terbabit.
Bagaimanapun, pengumuman itu tidak begitu menghadirkan senyuman buat legenda bola sepak negara, Matlan Marjan, berikutan terpaksa meneruskan penantiannya untuk kembali aktif memeriahkan arena bola sepak negara.Lima lagi pemain yang turut menerima nasib sama ialah rakan sepasukannya dalam skuad Sabah pada waktu itu, Matusin Bowie, Junaidy Tuah, Gerald Mojiliu, G Raveychandran dan Charles Tindi.
"Saya gembira rakan-rakan di Semenanjung akhirnya mendapat pengampunan sepenuhnya, namun bagi saya, keputusan itu sepatutnya dibuat secara menyeluruh dan tidak 'pilih kasih' kerana sebelum ini kami semua menandatangani satu memorandum yang sama.
"Kenapa perlu ada keputusan yang berbeza, bekas pemain di Semenanjung mendapat pengampunan tetapi kami di Sabah masih belum mendapatkannya (pengampunan sepenuhnya).
"Saya tidaklah menyalahkan FAM 100 peratus tetapi kita boleh lihat sendiri reaksi peminat-peminat bola sepak di Sabah macam mana," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.
"Itu pun masih ada beberapa sekatan, contohnya ketika saya membawa pasukan Kota Belud dalam Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) ke peringkat kebangsaan, nama saya tidak boleh ada dalam 'kertas'.
"Saya berharap kami akan mendapat pengampunan sepenuhnya kerana kami juga mahu mencurah bakti untuk membangunkan bola sepak tanah air sekiranya diberi peluang," katanya.
Bekas penyerang yang pernah meledak dua gol untuk Malaysia dalam aksi persahabatan bertemu England pada 1991 itu turut tidak menolak kemungkinan akan bersetuju membantu skuad Sabah sekiranya diberi peluang.
"Kalau diberi peluang, siapa yang tidak mahu membantu negeri sendiri, bola sepak adalah darah daging saya," katanya.
Semalam, seramai 73 daripada 84 bekas pemain yang pernah terbabit rasuah kini bebas daripada penggantungan. Lima pemain lagi sudah meninggal dunia.
SAFA tiada halangan Matlan, 5 rakan aktif semula
Setiausahanya, Alijus Sipil, berkata ini kerana penggantungan enam bekas pemain itu termasuk bekas penyerang kebangsaan, Matlan Marjan sudah melebihi 20 tahun iaitu sejak tahun 1995.
Malah, katanya, jika mengikut tafsiran hukuman mahkamah biasa, penggantungan seumur hidup lazimnya hanya untuk tempoh 20 tahun yang mana sudah dilepasi oleh semua bekas pemain berkenaan.
"Jawatankuasa eksekutif SAFA ada berbincang bersama FAM mengenai perkara ini dan memang mahu melepaskan mereka, namun perlu dirujuk kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terlebih dahulu," katanya di sini, sebentar tadi.
Alijus yang juga Presiden Majlis Perbandaran Tawau berkata, hukuman enam bekas pemain itu adalah penggantungan seumur hidup, berbeza dengan 76 pemain yang dibebaskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam iaitu mengikut tempoh tertentu.
Selain Matlan, 48, lima bekas pemain Sabah yang menerima nasib sama ialah Matusin Bowie, Junaidy Tuah, Gerald Mojiliu, G Raveychandran dan Charles Tindi.
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment