Pertembungan Politik tiga beradik di Tambunan

DARI kiri; Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Crispin Kitingan. - Foto NSTP
Pertembungan tiga beradik di Tambunan?

KOTA KINABALU: Pertandingan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan dijangka menarik perhatian apabila kemungkinan menyaksikan pertembungan tiga beradik daripada tiga parti berbeza dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pertembungan itu membabitkan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dari Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mewakili Barisan Nasional (BN), Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan seorang lagi adik mereka, Crispin Kitingan yang dikhabarkan bakal mewakili Parti Warisan Sabah (WARISAN).


Pertembungan adik-beradik itu pernah berlaku pada PRU-13 tetapi hanya membabitkan Pairin dan Jeffrey bagi kerusi Parlimen Keningau yang dimenangi Pairin.

Spekulasi pertembungan keluarga itu kembali hangat berikutan kenyataan terbaharu Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah serta Presiden PBS yang beliau mungkin kekal bertanding sekiranya dikehendaki oleh pucuk pimpinan dan rakyat, walaupun sebelum ini menyatakan hasrat untuk bersara.

Jeffrey ketika dihubungi, mengesahkan akan bertanding di kerusi Parlimen Keningau dan DUN Tambunan tidak kira siapa calon yang bakal menjadi lawannya termasuk abangnya sendiri yang mewakili BN.

"Apa yang penting ketika ini adalah perjuangan untuk menuntut hak-hak Sabah. Soal mengenai siapa lawan tidak menjadi masalah.

"Pairin sebelum ini menyatakan mahu bersara, tetapi sekiranya beliau kekal bertanding (DUN Tambunan dan Parlimen Keningau), tidak akan mengubah pendirian saya untuk bertanding di dua kerusi berkenaan," katanya.

Baru-baru ini, Pairin yang menjadi wakil rakyat sejak tahun 1976 dilaporkan berkata, walaupun keputusan untuk bersara sudah dibuat, beliau tidak menolak kemungkinan untuk terus berkhidmat jika diperlukan.

Pairin berkata, keputusan muktamad sama ada menawarkan diri untuk mempertahankan kerusi atau meneruskan hasrat persaraan, hanya akan diketahui pada hari penamaan calon namun setakat ini beliau masih kekal dengan pendirian bersara.

Sementara itu, Crispin menyatakan secara peribadi beliau tidak berminat menjadi calon, namun bersedia jika itu 'dimahukan' oleh pucuk pimpinan WARISAN.

"Secara peribadi, saya menghormati dan sayangkan kedua-dua abang saya, namun perjuangan politik bukan untuk keluarga atau individu sebaliknya demi kepentingan rakyat.

"Sekiranya diarah untuk menjadi calon, saya akur kepada keputusan pucuk pimpinan dan sedia menentang kedua-dua abang saya sekiranya mereka turut bertanding di DUN Tambunan," katanya sambil menambah mereka 'berlawan' sesama sendiri bukan secara peribadi, sebaliknya atas dasar perbezaan fahaman politik.


Selain Tambunan iaitu antara tiga DUN di Parlimen Keningau, Pairin dan Jeffrey kemungkinan turut bertembung bagi kerusi Parlimen.

Pada PRU-13, Pairin yang kali pertama bertembung dengan Jeffrey dalam pilihan raya menang dengan majoriti 4,264 undi dalam saingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Keningau bersama seorang lagi calon dari PKR.

Lima tahun lalu, Pairin turut menang kerusi DUN Tambunan, manakala Jeffrey menang di DUN Bingkor.

Post a Comment

Previous Post Next Post