Sabah Julang Trofi juara Liga Perdana 2019

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama pemain Sabah bersorak kegembiraan meraikan kejayaan mereka pada Majlis Penyampaian Piala Liga Malaysia di Stadium Likas malam tadi.
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)



Likas: Sabah terus membuktikan betapa mereka layak bergelar juara Liga Perdana, musim ini, apabila meneruskan memontum kemenangan dengan mengatasi Kelantan 1-0 di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Selepas 23 tahun, Stadium Likas akhirnya bergema kembali dengan sorakan kejuaraan penyokong pasukan bola sepak Sabah selepas menyaksikan Piala Liga Perdana dijulang malam ini.


Beraksi di depan 10,000 penyokong, kejayaan tersebut lebih manis apabila Skuad Tambadau menunjukkan aksi sang juara membenam cabaran Kelantan dengan jaringan 1-0.


Turut menyaksikan perlawanan malam ini ialah Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Peter Anthony serta barisan pimpinan Kabinet negeri.



Juhar yang menerima piala berkenaan daripada Mohd. Shafie kemudiannya turut menyampaikannya kepada kapten pasukan, Rawilson Batuil untuk dijulang.


Kali terakhir Sabah memenangi kejuaraan dalam Liga Malaysia ialah pada tahun 1996, manakala kejuaraan musim ini yang telah disahkan di Shah Alam sejak Rabu lalu membolehkan Sabah layak ke Liga Super musim depan untuk bersaing pasukan-pasukan elit negara.


Terdahulu dalam perlawanan malam ini, gol kemenangan Sabah dijaringkan Ahmet Atayev pada minit ke 57 hasil sepakan sudut.

Ketika pemain-pemain lain bersedia menanduk bola di dalam kotak penalti, Atayev sebaliknya bijak melencongkan bola tersebut yang gagal ditampan kemas penjaga gol Kelantan, Mohammad Fikri Che Soh.

Sabah yang beraksi garang sepanjang perlawanan berpeluang melebarkan kedudukan, namun banyak mensia-siakan peluang termasuk sepakan penalti Paunovic yang gagal disudahkan.


Hasil kemenangan itu, Sabah kini mengumpul 43 mata di puncak liga dengan berbaki satu perlawanan menentang Terengganu.

Sementara itu, mengulas kemenangan berkenaan, Mohd. Shafie berkata, perubahan pucuk pimpinan dan pengurusan pasukan yan dibuat sejak tujuh bulan lalu adalah rahsia utamanya.

Sehubungan itu, beliau harap prestasi pasukan dapat dikekalkan untuk menghadapi Piala Malaysia dan Liga Super pada musim akan datang.



“Ini adalah kejayaan yang disumbangkan oleh semua pihak termasuk Safa, pengurusan, jurulatih dan para pemain yang begitu berdedikasi.


“Kita sudah menjadi juara tempoh hari dan kejayaan itu berjaya kita kekalkan pada malam ini, justeru saya yakin dengan kerja keras tiada yang mustahil untuk pasukan menjuarai Liga Super,” katanya.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan dilihat sedikit sukar menguasai bola berikutan keadaan padang licin akibat hujan lebat di sepanjang permainan berlangsung.

Kelantan lebih dulu memiliki peluang pada minit ke-7 menerusi penyerang import, Li'mam Seydi, namun cubaan yang berjaya melepasi penjaga gol tuan rumah, Rozaimie Rohim, berjaya dihalang Maffry Balang sebelum bola sempat bergolek masuk ke gawang.


Dua minit kemudian, Alto melakukan rembatan kencang menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti namun terus menuju ke dakapan penjaga gol Kelantan, Mohammad Fikri Che Soh.

Pada minit ke-19, penyerang import skuad Tambadau, Aguinaldo Mendes Veiga melakukan larian pantas melepasi dua pertahanan lawan tetapi cubaannya selepas itu berjaya diselamatkan Fikri.



Pemain Sabah meraikan kejayaan mereka dengan mengangkat Piala Liga Perdana Malaysia pada Majlis Penyampaian Piala Liga Malaysia di Stadium Likas malam tadi.

Satu lagi peluang Sabah untuk menghasilkan gol ialah pada minit ke-36 apabila bola hantaran lintang Alto Linus terus menuju ke pintu gol dan hampir mengelirukan Fikri namun dia sempat menepisnya keluar.

Bermula babak kedua, skuad Tambadau menggandakan usaha mereka mencari gol dan berjaya mendapatkan sepakan penalti pada minit ke-55 selepas Rodoljub Paunovic dikasari Mohd Farisham Ismail di dalam kotak penalti.


Bagaimanapun, sepakan Paunovic selepas itu berjaya ditepis keluar oleh Fikri seterusnya memberikan sepakan sudut kepada Sabah.


Sepakan sudut yang diambil Ahmet Atayev itu kemudian menceriakan lebih 10,000 penyokong apabila bola gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol dan terus masuk ke dalam gawang bagi menjadikan kedudukan 1-0.


Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan cuba mencari gol penyamaan dan hampir memperolehinya pada minit ke-61 namun dua cubaan berturut-turut mereka diselamatkan Rozaimie serta terkena palang.


Skuad The Red Warrior juga memiliki peluang terbaik pada minit ke-87 menerusi Nik Akif Syahiran yang hanya berdepan Rozaimi tetapi penjaga gol Sabah itu lebih cemerlang menyelamatkan keadaan dan kedudukan 1-0 itu kemudian tamat sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.



Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.