Paragliding salah Landing di Bumbung Orang di Kampung Talungan, Telipok

Jurupandu paragliding dan penumpang terpaksa mendarat kecemasan di atas bumbung rumah milik seorang penduduk Kampung Talungan di Telipok, Kota Kinabalu. - NSTP/Ihsan Pembaca
Jurupandu paragliding, penumpang mendarat cemas atas bumbung

TELIPOK: Seorang penduduk di Kampung Talungan, di sini, tidak menyangka bunyi dentuman kuat di bumbung rumahnya sebenar disebabkan jurupandu paragliding dan penumpangnya yang terpaksa mendarat kecemasan, semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 3 petang itu, pemilik rumah, Elpyrah Pooson, 27, berkata, ketika kejadian dia berada di halaman rumahnya.

Katanya, pada mulanya dia menyangka bunyi itu mungkin disebabkan bola yang melantun dari padang sekolah rendah berhampiran.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila jiran menjerit memberitahu ada dua orang di atas bumbung rumah saya.

“Saya melihat dua individu iaitu seorang lelaki tempatan (jurupandu paragliding) dan seorang wanita warganegara China (penumpang) sedang berdiri di atas bumbung rumah saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Elpyrah berkata, ahli keluarganya dan penduduk lain kemudiannya membantu kedua-dua individu terbabit untuk turun menggunakan tangga.

“Mujur, kedua-duanya tidak cedera dan kami dimaklumkan jurupandu paragliding, mereka berlepas dari bukit di Menggatal namun mengalami masalah teknikal disebabkan arah angin bertukar arah sebelum terpaksa mendarat cemas.

“Kejadian mengakibatkan sebahagian bumbung rumah bengkok manakala rangka bumbung juga patah. Mereka bersetuju untuk membayar ganti rugi kerosakan itu,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai jururawat di salah sebuah hospital di Kota Kinabalu memberitahu, setakat ini, sudah empat insiden sama berlaku di kampung mereka.

Namun katanya, penduduk memahami perkara itu kerana ia terpaksa dilakukan atas soal keselamatan mereka..

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.