Sabah FA terpaksa cari pengganti Jelius Ating

Sabah terpaksa lupakan Jelius Ating bagi kempen Liga Super 2020 berikutan pengendali itu tidak memiliki Lesen Kejurulatihan Pro A AFC sepertimana disyaratkan FAM.
SAFA terpaksa cari pengganti Jelius

Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), hari ini, mengesahkan Jelius Ating tidak dapat menyambung kontraknya sebagai pengendali utama skuad Tambadau musim depan.

Ia berikutan peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mewajibkan ketua jurulatih bagi pasukan Liga Super perlu memiliki lesen kejurulatihan Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony, berkata, pihaknya telah mengemukakan rayuan kepada FAM bagi memberi kelonggaran agar Jelius dapat terus membimbing skuad Sabah namun ianya gagal.

PEMAIN Sabah melambung ketua jurulatihnya, Jelius Tabias Ating (tengah) selepas pasukannya bejaya menundukkan pasukan UiTM FC dengan keputusan 1-2 dan menjadi juara liga sekaligus melayakkan ke Liga Super musim hadapan selepas tamat perlawanan Liga Perdana 2019 di Stadium UiTM Shah Alam.

"Kalau saya, sudah pasti saya pilih Jelius kerana sumbangan besarnya sehingga pasukan kita berjaya muncul juara Liga Perdana musim ini serta layak beraksi di Liga Super musim depan.


"Bagaimanapun kita terpaksa akur dengan peraturan ditetapkan FAM pihak SAFA juga telah mengenal pasti beberapa calon yang sesuai bagi menggantikan tempat Jelius," katanya pada sidang media selepas menghadiri Kongres Tahunan SAFA, di Kota Kinabalu, hari ini.



Sementara itu, Peter turut membayangkan pengendali baharu Sabah nanti adalah daripada luar negara yang memiliki lesen kejurulatihan Pro A AFC.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Jelius, beliau berkata, pasukan Sabah akan tetap menggunakan khidmat bekas pemain berusia 48 tahun sebagai pembantu jurulatih.


"Kita masih perlukan Jelius dan saya harap di samping menjadi pembantu kepada ketua jurulatih nanti, beliau akan belajar daripada pengendali pasukan dan di masa akan datang akan dapat mengambil lesen Pro A, tidak mustahil beliau akan kembali sebagai ketua jurulatih suatu hari nanti," katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.