Hadhinah Fawwazah Nasaruddin, 32, mengakui teruja bertugas sebagai pegawai kawalan mutu produk ganja untuk perubatan di Amerika Syarikat (AS). — Foto ihsan Facebook/Hannah Fawwazah Nasaruddin
Wanita warga Malaysia yang kini menetap di Nevada, Amerika Syarikat (AS) mengakui ‘jatuh cinta’ dengan tugas selaku pegawai kawalan mutu dan kualiti produk berasaskan ganja untuk perubatan.Hadhinah Fawwazah Nasaruddin, 32, berkongsi pengalamannya berkecimpung dalam bidang itu sejak setahun lalu berkata, skop tugasnya bukan satu perkara mudah malah terikat dengan pelbagai peraturan.
“Ia bukan mudah untuk bekerja di industri yang dikawal ketat ini. Saya boleh katakan saya cintakan pekerjaan saya, dan kerja saya sangat unik dan saya tahu peluang ini tidak akan datang kepada saya jika saya tidak ada hati yang terbuka atau tidak mempercayai (bidang) Sains,” katanya di Facebook.
Jelas Hadhinah, perkongsiannya tidak mempunyai maksud terselindung tetapi sekadar berkongsi pengalaman selain manfaat perubatan berasaskan herba.
Kerajaan AS juga masih mengawal penggunaan ganja walaupun ia dibenarkan di peringkat negeri untuk perubatan.
Setakat ini, kebenaran diberikan kepada 11 negeri bagi rekreasi manakala 33 yang lain hanya menerima kebenaran penggunaan ganja untuk perubatan.
Sementara itu, Hadhinah berkata terdapat banyak peluang pekerjaan dalam bidang tersebut sekaligus mengurangkan kadar pengangguran.
“Oleh sebab itu juga, banyak peluang pekerjaan dalam bidang ini, dari ‘budtender’ iaitu yang bekerja di belakang kaunter dispensari, penanam atau cultivator dan pegawai pengawal kualiti ganja seperti saya!” katanya lagi.
Di hujung perkongsian, Hadhinah mengakui pernah mengambil ganja untuk merawat kemurungan yang pernah dihadapinya atas saranan doktor.
“Awal dulu waktu baru pindah sini, doktor mengalihkan penggunaan ubatan untuk dipresi saya ke penggunaan ganja. Setahun kemudian saya tak perlu lagi bergantung pada apa-apa,” katanya.
Hantaran Hadhinah yang juga penulis buku I’m A Backpacker Journal USA mendapat lebih 20,000 perkongsian dan 16,000 tanda ‘suka’ di FB.
Post a Comment