PM baharu perlu pertimbang Jemaah Menteri kecil, bersifat bipartisan, kata Salleh

Salleh Said Keruak berkata, parti-parti politik perlu menaruh kepercayaan kepada Agong untuk memilih perdana menteri yang akan memikul tanggungjawab membentuk kerajaan yang stabil. 



PETALING JAYA: Perdana menteri yang akan dilantik dalam masa terdekat ini boleh menubuhkan Jemaah Menteri yang lebih kecil, berkemahiran dan bersifat bipartisan bagi membina kerajaan yang stabil, kata bekas menteri persekutuan Salleh Said Keruak.

Katanya, hakikat kini adalah tiada satu pun parti politik yang dapat membentuk kerajaan secara sendiri.

“Ada keperluan untuk penjajaran semula dan kompromi, tetapi fokus utama seharusnya kepada pemulihan,” katanya di Facebook.

Salleh berkata, parti-parti politik perlu menaruh kepercayaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memilih Perdana Menteri yang akan memikul tanggungjawab itu.

Sebelum ini, beliau menegaskan, “tidak sesuai” perdana menteri baharu dilantik berdasarkan akuan berkanun (SD).

Katanya, ketinggian Perlembagaan Persekutuan, yang memberi Agong kuasa untuk melantik perdana menteri, harus diterima lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan wabak Covid-19.

Agong dijangka memanggil semua ketua parti menghadapnya di Istana Negara hari ini berhubung pelantikan perdana menteri dan pembentukan kerajaan baharu susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin.

Setakat ini, empat parti politik, iaitu Umno, PAS, DAP dan Pejuang, telah mengesahkan wakilnya akan hadir ke Istana.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.