Sabah optimis beralih PPN Fasa ke-3 September ini

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor



TUARAN - Kerajaan Sabah optimis negeri itu akan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal atau pertengahan September ini, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, perkembangan positif itu susulan kira-kira 1.4 juta rakyat Sabah telah menerima suntikan dos pertama menerusi program vaksinasi Covid-19 yang dilaksanakan di seluruh negeri, setakat ini.

“Insya-ALLAH dalam beberapa hari lagi kita akan mencapai 40 peratus nilai ambang untuk beralih ke Fasa Tiga PPN. Jika semua berjalan dengan baik, Sabah boleh mencapai 60 peratus rakyat divaksin pada awal atau sebelum 15 September.

“Saya difahamkan, lebih kurang 60,000 rakyat mendapat suntikan vaksin dalam sehari ketika ini dan ini cukup memberangsangkan kerana jika ia berterusan kita boleh mencapai imuniti kelompok sekurang-kurangnya pada Oktober atau November,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Sri Sulaman di sini, pada Sabtu.

Hajiji membuat tinjauan operasi PPV di Hospital Tuaran sebelum mendengar taklimat disampaikan oleh Pengarah hospital Dr G Mohan yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Sabah Dr Rose Nani Mudin.

Sabah akan menerima bekalan tambahan sebanyak 560,720 dos vaksin jenis Pfizer, Sinovac dan Cansino minggu depan dalam usaha meningkatkan peratusan penerima vaksin di negeri itu ke arah mencapai sasaran imuniti kelompok ditetapkan.

Beliau berkata, bekalan vaksin negara adalah mencukupi bagaimanapun, kerajaan Sabah turut menggalakkan mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri membeli vaksin sendiri untuk diberikan kepada kakitangan mereka.

Setakat ini, pihak Khazanah Sabah dan Kumpulan Sawit Kinabalu telah memulakan urusan pembelian vaksin sendiri, katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, kerajaan Sabah memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf Hospital Tuaran sebagai hospital pakar kerana ia amat penting dalam memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan penduduk.

Selain itu, Sabah juga berharap kerajaan Persekutuan dapat membina sebuah klinik kesihatan kerajaan di Tuaran masing-masing di Sulaman dan Pantai Dalit bagi memberi perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat di kawasan berkenaan, katanya. - Bernama

Post a Comment

Previous Post Next Post