TIBA: Kumpulan kedua vaksin CanSino yang tiba di Kota Kinabalu. |
KOTA KINABALU : Sabah hari ini menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 jenis CanSino sebanyak 53,000 dos manakala kumpulan seterusnya vaksin dos tunggal itu dijangka turut diterima pada bulan ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Rose Nani Mudin.
Beliau berkata vaksin itu dapat membantu melancarkan program vaksinasi di Sabah dan sehingga semalam, lebih 1.46 juta penduduk di negeri tersebut menerima dos pertama vaksin COVID-19 manakala 866,228 orang lagi telah melengkapkan dua dos suntikan.
“Kadar vaksinasi orang dewasa iaitu 18 tahun dan lebih di Sabah telah mencapai 53.3 peratus (dos pertama) dan 31.4 peratus daripada mereka telah menerima dua dos lengkap,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dilaporkan berkata kerajaan negeri mengemukakan permohonan agar Sabah diberi keutamaan untuk menerima CanSino dan telah memohon 1.8 juta dos vaksin jenis itu kepada Kerajaan Persekutuan.
Dr Rose Nani berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah terus mempergiat vaksinasi di kawasan pedalaman dan sukar dicapai selain terus membuka pusat pemberian vaksin secara jumpa terus.
Dr Rose Nani berkata, ia merupakan kumpulan pertama bagi bekalan vaksin dos tunggal yang akan dibekalkan secara berperingkat ke Sabah. - Gambar ihsan JKN Sabah. |
“Pada masa ini, jangkitan COVID-19 telah pun berleluasa dalam komuniti, semua orang berisiko untuk menjangkiti dan dijangkiti. Pada masa ini juga, tindakan pencegahan di peringkat individu adalah kunci utama menghalang penyebaran virus ini.
“Pematuhan SOP iaitu sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam dan terbuka, mengamalkan penjarakan fizikal satu meter, tidak bersentuhan dan kerap mencuci tangan mesti dilakukan di mana pun mereka berada,” katanya.
Mengulas kes lambat daftar, Dr Rose Nani berkata ia terjadi apabila kes yang dikesan meningkat mengakibatkan beban ujian makmal dan kerja petugas turut meningkat.
Katanya sehubungan itu, beberapa langkah penambahbaikan sedang dilakukan termasuk penyumberluaran, meningkatkan jumlah anggota yang menjalankan ujian, memanjangkan waktu bertugas di makmal sehingga 12 tengah malam dan meningkatkan keupayaan ujian secara teknikal. – BERNAMA
Post a Comment