Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal |
KOTA KINABALU: Penglibatan pakar dalam menangani masalah Covid-19 di negara ini perlu diambil kira bagi memastikan pengurusan pandemik Covid-19 dapat dilakukan dengan lebih efektif.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan perlu mewujudkan jawatankuasa khas yang membabitkan pakar kesihatan untuk mengenal pasti kaedah terbaik menangani Covid-19.
Beliau berkata, pengurusan pandemik perlu mempunyai keinginan politik yang kuat untuk mewujudkan jawatankuasa khas. Sekiranya, langkah pertama tidak berkesan, jawatankuasa itu boleh menyusun atur langkah-langkah lain yang boleh dilaksanakan.
Ketika ini, varian delta sudah mula menular dalam kalangan masyarakat dan pada masa akan datang mungkin varian lebih teruk akan terhasil jadi, langkah perlu dipercepatkan bagi menangani pandemik ini.
Dalam pengendalian penutupan sektor ekonomi pula, Mohd Shafie berkata, satu polisi tidak harus dipraktikkan di semua negeri. Sekiranya penularan berlaku di kilang-kilang di Selangor, tidak perlu mengarahkan kilang di Sabah turut ditutup.
“Pada masa ini, sekiranya kerajaan boleh melakukan saringan secara besar-besaran terhadap semua rakyat, ia akan membantu cara untuk mengendalikan Covid-19 dengan lebih baik kerana diketahui berapa ramai rakyat yang dijangkiti Covid-19.
“Bagi individu yang disahkan negatif, pemberian vaksin harus segera diberikan bagi mempercepatkan proses vaksinasi di negeri ini dan sekarang penerima dua dos vaksin di Sabah masih sekitar 28 peratus,” katanya dalam program bual bicara secara maya ‘Whats’s going on Malaysia’ bersama Harith Iskandar semalam.
Sabah masih mencatatkan peratusan terendah kerana proses vaksinasi tidak mengambil kira masyarakat yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera, tinggal di kawasan yang jauh di pedalaman yang sepatutnya diberikan vaksin dos tunggal sahaja.
Ahli Parlimen Sempora ini berkata, bagi membolehkan Malaysia terus maju ke hadapan, pemimpin di negara ini perlu kurangkan berpolitik dan fokus kepada usaha menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang terkesan.
Kerajaan yang baharu pula harus belajar daripada kesilapan lepas dan melihat cara terbaik menangani pandemik seperti yang dilakukan di Singapura. Jika dilihat Indonesia juga sedang bergerak ke hadapan dalam mengeluarkan vaksin sendiri.
Untuk maju ke hadapan, rakyat di negara ini perlu memilih pemerintah yang baik. Hanya dengan cara itu perubahan boleh dilakukan di negara ini.
Sekiranya pemimpin yang dipilih mempunyai sifat kepimpinan yang baik sudah pasti apa sahaja cabaran yang dihadapi di negara ini mampu ditangani dengan berkesan. – BorneoToday
Post a Comment