Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran |
TAWAU: Seramai tiga orang dikesan dijangkiti varian Delta masing-masing satu kes di Kalabakan dan dua kes di Tawau baru-baru ini.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran berkata kes varian Delta itu dikesan pada minggu lalu selepas keputusan ujian saringan kesemua pesakit berkenaan di terima.
“Kes di Tawau melibatkan dua individu yang baharu tiba di Lapangan Terbang Tawau dari Kuala Lumpur untuk melawat keluarga mereka, namun dikesan bergejala sebelum dikuarantin.
“Manakala kes di Kalabakan pula dikesan daripada seorang pekerja ladang sawit yang didapati positif COVID-19 dan membabitkan Kluster Agathis,” katanya ketika ditemui media, di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, kesemua pesakit berkenaan sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 dan kini dalam proses sembuh.
“Pesakit yang sudah menerima suntikan vaksin berpotensi untuk sembuh dengan cepat dan hampir tiada komplikasi sekiranya dijangkiti COVID-19.
“Sebab itu, kita galakkan semua penduduk di daerah ini supaya segera menerima suntikan vaksin kerana potensi untuk sembuh sangat cepat sekiranya dijangkiti wabak tersebut,” katanya.
Navindran menjelaskan penduduk Tawau yang belum menerima vaksin diminta untuk datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang sedia ada.
“PPV Dewan Masyarakat Tawau ketika ini menyediakan sebanyak 3,000 dos vaksin COVID-19 setiap hari.
“Mereka juga boleh mendapatkan vaksin tersebut secara ‘walk-in’ di PPV IPG Balung dan PPV Merotai pada bila-bila masa,” katanya.
Katanya, pihaknya juga akan membuka sebuah lagi PPV di Dewan Kampung Jawa pada Jumaat depan dan kami sasarkan sebanyak 10,000 dos vaksin sehari boleh diberikan melalui semua PPV itu nanti.
Dalam pada itu, Navindran turut mengingatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala COVID-19 bagi mengelak pesakit tidak dapat diselamatkan.
“Sejak tahun lalu hingga kini sebanyak 306 kematian akibat COVID-19 direkodkan di Tawau dan kebanyakannya disebabkan lewat mendapatkan rawatan,” katanya.
Post a Comment