Kenderaan Perodua Myvi yang dipandu bapa Joseph Simon. |
KOTA KINABALU: Keluarga Simon Sanga Ape, 64, yang masih hilang selepas kereta Perodua Myvi dipandu dihanyutkan arus deras ketika melalui jambatan konkrit di Jalan Kionsom Lama, Inanam, di sini, semalam ditemui segera.
Anak mangsa, Joseph Simon, 34, berkata, dia menerima berita buruk itu daripada adiknya yang menghubunginya dan memaklumkan kejadian berkenaan.
Katanya, mereka sekeluarga dibantu penduduk kampung kemudiannya ke lokasi kejadian untuk mencari bapanya namun gagal berikutan keadaan air sungai yang deras.
“Kami membuat keputusan untuk meneruskan pencarian di beberapa lokasi sejak semalam hingga jam 4.30 pagi tadi.
“Selepas rehat seketika, kami meneruskan pencarian sebelum akhirnya menemui kereta itu di sini. Namun, hanya rakan bapa yang ditemukan dalam kenderaan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan Perodua Myvi berkenaan, hari ini.
Perodua Myvi itu ditemui di dasar Sungai Dambai, Jalan Kionsom Lama, Inanam, pada jam 7.20 pagi, dengan seorang mangsa Juning Maturun, 37, ditemukan lemas di dalam kenderaan itu.
Joseph berkata, mereka sekeluarga turut dikejutkan beberapa dakwaan kononnya bapanya sudah ditemui selamat, namun tiada pihak yang dapat memberikan keadaan dan lokasi bapanya.
“Kami akan meneruskan usaha mencari bapa yang masih hilang,” katanya. – HMetro
Post a Comment